Seorang bapa yang didakwa merogol anak perempuannya sejak berusia enam tahun telah diberkas oleh pihak polis pada Sabtu. 

Artikel Berkaitan: Doktor Tergamam Pelajar Perempuan Mengaku Dirogol Bapa Kandung Tapi Lagi ‘Geram’ Bila Ibu Sendiri…

Bapa rogol anak

Gambar sekadar hiasan


Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu menahan suspek kira-kira jam 6 petang.

Menurut Zahril, lelaki yang merupakan warga tempatan itu ditangkap selepas mangsa membuat laporan pada 15 Jun lalu.

Pihak polis menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, lebih kurang jam 3.54 petang.

Mangsa mendakwa dalam kejadian terbaharu pada 29 Mei lalu sekitar jam 12 tengah hari, dia bersama adik perempuannya sedang berada di rumah sebelum dipanggil bapanya masuk ke dalam bilik tidur.

Difahamkan, suspek kemudian melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam bilik tersebut.

Bukan itu sahaja, mangsa malah diberi amaran oleh suspek supaya tidak membongkarkan perbuatan seksual tersebut kepada orang lain.

Siasatan awal mendapati perbuatan terkutuk itu dipercayai dilakukan suspek sejak mangsa berusia enam tahun lagi. Akibat kejadian itu, mangsa kini mengalami kemurungan dan trauma.

Sementara itu, Zahril memaklumkan bahawa, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah dikemukakan di hadapan Majistret Setiu semalam (21 Jun).

Mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian