
Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima mengenang kembali momen pertemuan bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan menyifatkan pemergian Allahyarhamah satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.
Artikel Berkaitan: Pegawai Khas Perjelas Pemilihan Lokasi Bagi Tujuan Pengurusan Jenazah – ‘Masjid Itu Sentiasa Terima Sedekah Daripada Tun Hasmah’
Artikel Berkaitan: Legasi Tun Dr Siti Hasmah Bermula Jauh Sebelum Menjadi Isteri Perdana Menteri
Erma Fatima kenang pertemuan dengan Tun Hasmah
Ketika ditemui OhBulan!, Erma menyifatkan peluang meluangkan masa bersama Allahyarhamah di majlis Seniman Semeja kira-kira seminggu sebelum pemergiannya sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya dan anak seni yang lain.
Mungkin sudah ditakdirkan Allah bahawa kami menerima hadiah yang paling istimewa. Seminggu sebelum beliau pergi, seolah-olah itu satu pemberian yang sangat besar untuk kami sebagai orang seni.
Beliau juga sempat bermain biola kerana itu adalah kegemarannya. Beliau tetap berusaha untuk bermain dan menghiburkan kami.
Bukan kami yang menghiburkan beliau, tetapi sebaliknya beliau mahu melakukan sesuatu untuk kami. Beliau mahu bermain biola dan selepas selesai bermain, air matanya mengalir.
Erma berkata demikian ketika ditemui di Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil anjurannya bersama adiknya yang juga pelakon, Datin Umie Aida bertempat di Mussolah Aisya, Titiwangsa pada Rabu.
Majlis berkenaan turut disertai antaranya Aziz M Osman, Datuk Fauziah Nawi, Sharifah Shahirah, Esma Daniel, Puteri Sarah Liyana, Fouziah Gous, Aisha Retno dan ramai lagi, manakala bacaan Yasin serta tahlil dipimpin Sheikh Karim Al Makki.
Dalam pada itu, Erma turut mengagumi keperibadian Allahyarhamah yang sentiasa memberikan perhatian kepada orang di sekeliling tanpa mengira latar belakang.
Beliau juga mempunyai sifat mahu memenuhi kehendak semua orang. Kita selalu nampak apabila beliau menghadiri sesuatu majlis, beliau sering tertinggal di belakang.
Sebabnya, kalau ada 1,000 orang, beliau mahu bersalaman dengan kesemua 1,000 orang. Kalau boleh, beliau mahu bercakap dengan setiap seorang.
Ujar Erma, Allahyarhamah juga sentiasa berusaha memenuhi undangan daripada penggiat seni sekiranya mempunyai kelapangan.
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi Isnin pada usia 100 tahun.
Sekadar info, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 selepas berkenalan ketika sama-sama menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.