Foto: Harian Metro
Kesedihan jelas terpampar di wajah seorang bapa apabila mendapat berita mengenai kematian ketiga anaknya yang terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Artikel Berkaitan: Tragedi Nahas 5 Beranak, Suami Reda – ‘Terima Kasih Allah Untuk Tempoh 24 tahun Hidup Bersama Mereka’
Keluar beli aiskrim
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, bapa kepada ketiga-tiga mangsa, Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41, tidak menyangka keinginan anak-anaknya yang ingin memakan aiskrim merupakan permintaan terakhir mereka sebelum dijemput Ilahi.
Anak saya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin daripada isteri saya untuk keluar bersama abang, Nik Ikram Idwan, 15.
Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak.
Tambah Khairul lagi, ketika tiga beradik itu keluar membeli aiskrim, isterinya, Nur Baizura Mustaffa, 34, sedang menyediakan lauk ayam goreng kerana arwah Nik Nur Faqihah teringin untuk memakan ayam goreng.
Menurutnya lagi, kali terakhir dia bertemu anaknya, Nik Ikram Nuqman adalah pada pagi Sabtu sebelum ke tempat kerja di Kuantan selepas arwah terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi.
Saya seolah tidak percaya apabila isteri menghubungi memberitahu tiga anak kami maut dalam kemalangan, namun apabila melihat gambar mereka, hati saya begitu sayu.
Terlalu berat untuk menerima takdir ini namun saya reda. Ini ujian berat perlu saya dan isteri terima.
Dalam sekelip mata tiga daripada lima anak saya meninggalkan kami tanpa disangka, terlalu berat ujian yang terpaksa saya dan isteri terima.
Kejadian ini adalah sejarah hitam dalam hidup saya sekeluarga, terlalu sukar untuk diterima.
Sekadar info, Nik Ikram Idwan, Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir, Pekan, Pahang kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu.
Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV berkenaan yang datang dari arah hadapan.
Sumber: Harian Metro