berita

Tragedi Nahas 5 Beranak, Suami Reda – ‘Terima Kasih Allah Untuk Tempoh 24 tahun Hidup Bersama Mereka’

May 16th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Lima beranak dilaporkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada awal pagi Selasa ketika dalam perjalanan ke Tapah untuk membawa datuk mereka menjalani pemeriksaan di Hospital Tapah.

Difahamkan, kenderaan yang dinaiki mereka itu melanggar belakang sebuah lori sebelum terbakar.

Artikel Berkaitan: Tragedi Berdarah Menjelang Syawal, Warga Emas Tak Sangka Anak & Cucu Berehat ‘Selamanya’

Suami reda dengan pemergian isteri dan anak-anak

Foto: Buletin TV3

Memetik laporan Buletin TV3, mangsa yang maut dikenali sebagai Azriyani Abdul Latif, 45, serta empat lagi orang anaknya iaitu Muhammad Azib Nasaruddin, 23; anak keenam iaitu Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8; anak ketujuh iaitu Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7; dan anak bongsu mereka iaitu Ahmad Uwais Al Qorni Nasaruddin, 5.

Dalam pada itu, suami kepada Azriyani iaitu Nasaruddin Abu Bakar, 53, mendedahkan bahawa dia reda dan terima segala ketentuan Ilahi.

Saya perlu reda dengan pemergian mereka, semoga syurga untuk arwah isteri dan empat anak saya. Terima kasih Allah kerana beri tempoh 24 tahun hidup bersama mereka.

Bapa kepada lapan orang anak itu turut mengatakan bahawa dia hanya berazam untuk terus menggalas tugas sebagai bapa serta sebagai seorang ibu dalam masa yang sama buat empat anaknya yang masih ada susulan pemergian serentak isteri dan anaknya yang lain.

Nasaruddin yang bekerja dengan sebuah syarikat penyelenggaraan infrastruktur di lebuh raya di Bertam, Pulau Pinang turut  memaklumkan bahawa dia hanya pulang ke rumah mereka yang terletak di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar pada setiap hujung minggu.

Akibat tuntutan tugas, saya balik ke rumah hanya setiap hujung minggu antara Jumaat hingga Ahad. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa keluarga pada kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima panggilan anggota polis yang bertugas di sini.

Dalam pada itu, sepupu kepada Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, mendedahkan bahawa Azriyani ada menjemputnya untuk datang ke rumah melalui aplikasi WhatsApp namun tidak menyangka itu petanda mereka akan hadir ke rumah mereka bagi proses pengkebumian.

Semalam kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui WhatsApp, dia jemput semua datang ke rumahnya sempena Syawal yang masih berbaki. Kali ini, semua akan datang rumahnya (untuk majlis pengkebumian).

Sekadar info, kenderaan yang dipandu anak sulung kepada Nasaruddin, Muhammad Azib dilaporkan melanggar belakang sebuah lori muatan tanah yang dibawa perlahan di lorong kiri jalan kerana jalan mendaki di kawasan berbukit.

Kemalangan itu telah menyebabkan empat daripada mereka maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, meninggal dunia jam 9.20 pagi tadi selepas kritikal ketika dirawat di Hospital Tapah.

Jenazah lima beranak itu kemudiannya disolatkan di Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas dan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Sumber: Buletin TV3

SKIP THIS AD ×