berita

Bau Busuk Dari Sebuah Rumah Akhirnya Terjawab, Mayat Ibu Tunggal Ditemui Dibungkus Dalam Selimut

September 12th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Seorang ibu tunggal dipercayai telah meninggal dunia dalam rumahnya di salah sebuah pangsapuri di Prima Damansara sebelum pihak polis berjaya menemui mayat mangsa yang telah dibungkus dengan menggunakan selimut tebal.

Menerusi Kosmo, mangsa yang dikenali sebagai Nor Hidayah Ahmad merupakan seorang ibu tunggal yang tinggal bersama seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Bau busuk dari dalam rumah

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian tersebut disedari oleh bapa mangsa yang terhidu bau busuk ketika datang melawat ke rumah sewa anak perempuannya itu. Bapa mangsa yang berasa curiga dengan situasi tersebut terus menghubungi pihak polis.

Ketika kejadian, anak mangsa dikatakan tiada di rumah dan berada di pusat asuhan.

Ayahnya menghidu bau busuk dan berasa curiga sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Pihak polis yang sampai kira-kira pukul 6 petang telah memeriksa rumah itu dan menemui mangsa yang berbalut dalam selimut tebal serta ditimpa timbunan bantal.

Bekas suami menghilangkan diri

Mangsa yang merupakan seorang kerani di salah sebuah syarikat pengiklanan dikatakan telah bercerai sejak dua hingga tiga bulan yang lalu. Walau bagaimanapun, pihak polis sedang menjejaki bekas suami mangsa yang dikatakan telah menghilangkan diri.

Kita percaya mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. Mayatnya dibungkus menggunakan selimut tebal dan timbunan bantal serta tilam.

Justeru, polis sedang menjejaki bekas suami mangsa yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Sumber: Kosmo, Berita Harian

SKIP THIS AD ×