berita

Bawa Kereta Laju, Berang Sebab Pengawal Keselamatan Tak Benarkan Parkir di Parkir OKU?

October 18th, 2018 | by Ash Nordin
Kini Trending

Kejadian langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya semalam sememangnya tidak boleh diterima. Dipercayai seorang lelaki yang memandu kereta itu bukan sahaja melanggar dan menyeret anak saudaranya sejauh beberapa meter sehingga menyebabkan kematian, malah turut melarikan diri selepas kejadian itu berlaku.

Berang tidak diberi parkir oleh pengawal keselamatan

Menurut Asnah Shamsuddin, 45, berkata anak saudaranya Wan Amirah Wan Alias, 31, baru pulang dari kerja dan singgah di sebuah kedai di Shaftsbury Square, Cyberjaya untuk membeli makanan sebelum pulang ke rumah di kawasan berhampiran.

Dia hanya ke situ untuk beli roti tapi dilanggar lari pula oleh orang tak bertanggungjawab.

Saya diberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki warga asing yang berang selepas pengawal keselamatan di situ tidak membenarkannya parkir di petak parkir orang kurang upaya (OKU).

Disebabkan tu, lelaki tersebut memandu keluar kereta jenis Hyundai dalam keadaan marah seebelum merempuh beberapa kenderaan lain dan melanggar anak saudara saya yang turut berada di situ.

Asnah yang bekerja sebagai Pengurus Kewangan di Kumpulan Media Karangkraf sangat sedih dan kesal apabila lelaki itu tidak bertanggungjawab diatas kesalahan yang dilakukan.

Memang terkejut sangat bila dapat berita yang menimpa anak saudara saya tu.Tambah lagi dia jadi mangsa keadaan akibat sikap pentingkan diri serta perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain.

Saya harap pelaku dapat ditangkap cepat dan menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Menurut orang awam di tempat kejadian..

Selain itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh orang awam kira-kira jam 7.34 petang. Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila suspek lelaki yang memandu kereta Hyundai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton yang diparkir sebelah kanan.

Selepas melanggar kereta itu, suspek kemudiannya memandu ke kiri dan melanggar tiga lagi kenderaan iaitu jenis Toyota Avanza, Perodua Myvi serta Honda City yang diletakkan di petak parkir sebelah kiri.

Pada masa yang sama, terdapat seorang wanita sedang melintas jalan dan dirempuh suspek hingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Tambah Abdul Aziz, mangsa langgar lari telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 4 pagi tadi. Kini polis sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kereta berkenaan.

Setakat ini, lelaki yang memandu kereta jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 itu masih belum tampil membuat laporan.

Dia melarikan diri selepas kejadian dan usaha menjejakinya sedang dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

Sumber: Astro Awani

The following two tabs change content below.