Pihak kastam Indonesia tampil mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menyaksikan seorang juruterbang Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dadah jenis MDMA (ekstasi).

Artikel Berkaitan: Juruterbang Malaysia Ditahan Di Indonesia, Dakwa Jadi ‘Keldai’ Seludup 25 Kilogram Dadah

Artikel Berkaitan: JSJN Tumpaskan 3 Sindiket Vape Dadah Selepas 7 Pelajar Sentul Tidak Sedarkan Diri

Rakaman CCTV juruterbang

Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan suspek yang berseorangan itu tiba di Terminal 3 Antarabangsa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bersama sebuah bagasi berwarna perak dan membawa sebuah beg hand carry.

Selepas turun dari pesawat, suspek melalui kawasan ketibaan dan turut melengkapkan proses Pengisytiharan Kastam (Customs Declaration) di laman sesawang All Indonesia, sebelum menjalani proses penilaian oleh Pegawai Penilaian Risiko (Risk Assessment Officer).

Pada awalnya suspek diarahkan untuk ke laluan khas kru penerbangan, namun pihak kastam tetap menjalankan pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 25 kilogram (berat kasar) pil ekstasi, bersamaan 70,114 biji, serta dadah jenis syabu (methamphetamine) turut disembunyikan di dalam bagasi.

Dalam masa sama, pihak berkuasa turut menemui dan merampas sebotol kecil air kencing yang dipercayai disediakan lebih awal oleh suspek bagi memalsukan keputusan ujian urin sekiranya diminta melakukan pemeriksaan.

Suspek bersama barangan rampasan berkenaan kemudian diserahkan kepada Bareskrim Polri (Badan Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia) untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah dan dijanjikan upah sekitar RM50,000 bagi membawa bekalan tersebut ke Jakarta sebelum diserahkan kepada anggota sindiket yang menunggunya di negara berkenaan.

Sumber: Instagram