berita

‘Bayar RM100 Satu Babak..Industri Semakin Teruk, Seolah Hina Artis Senior’ – Didie Alias

October 20th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Kosmo

Pelakon dan pengacara, Didie Alias meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir produksi yang didakwa menindas pelakon-pelakon veteran kerana menawarkan bayaran yang tidak setimpal.

‘Kita datang dengan pakej yang lengkap..’

Ketika ditemui OhBulan!, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali berkata, dia pernah ditawarkan bayaran RM100 untuk satu babak. Bayaran tersebut seolah tidak setimpal dengan pengalamannya hampir 40 tahun sebagai anak seni.

Industri dah semakin teruk dan seolah-oleh menghina artis senior seperti kami dengan tawaran bayaran yang terlalu rendah serta tak setimpal dengan pengalaman yang dimiliki.

Ujar pelakon berusia 51 itu lagi, bukan dirinya sahaja malah rakan seperjuangannya yang lain turut berdepan dengan nasib yang sama apabila ditawarkan dengan bayaran rendah.

Contohnya 60 episod dengan bayaran RM20,000 atau RM30,000 untuk enam bulan. Ada yang bayar RM100 untuk satu babak. Kalau filem, RM1000 sehari. Berbaloi ke?

Kita ni datang dengan pakej yang lengkap dan watak yang ditawarkan pada saya juga bukan yang biasa-biasa. Banyak yang perlu dilakukan untuk menjiwai watak.

Jangan bezakan bayaran artis senior dan baharu

Foto: Kosmo

Tambah Didie, disebabkan itu, dia terpaksa menolak tawaran yang memberi bayaran tidak setimpal dengan pengorbanan dan pengalamannya.

Saya cakap, kalau awak nak ambil saya berlakon, ikut harga saya. Kalau tak nak, tak apa. Saya tolak. Rezeki Allah SWT yang tentukan.

Kami bukannya letak harga RM10,000 untuk satu episod, tetapi bayarlah artis senior sesuai dengan pengalaman mereka.

Dalam pada itu, aktress itu juga sempat menasihati pihak produksi tempatan supaya tidak membezakan bayaran terhadap pelakon lama dan baharu dimana wajah baharu dikatakan mendapat bayaran lebih tinggi meskipun kurang pengalaman.

Sekadar info, Didie dan anak (Nur Diyana) bersama beberapa rakan selebriti Shuib dan isteri iaitu Watie Hanafiah, Wany Kayrie dan ibunya (Mama Kay) serta Bella Astillah dan ibu (Zarina Salleh) bakal menunjukkan bakat memasak mereka di program Dapur Tempur Selebriti yang akan bersiaran bermula 18 November 2023, setiap hari Sabtu di TV9 dan Tonton.

SKIP THIS AD ×