Program pertandingan realiti baharu TV3 berkonsepkan cabar lakon-layar dan fizikal, Fit For Action menampilkan 12 peserta dalam mencari pelapis pelakon lelaki dan pelakon wanita. Namun, mampukan seseorang yang tidak mempunyai rupa paras yang menawan, dan seorang wanita, bekas atlet MMA dengan perwatakan yang lasak menyerlah di antara yang lain?
Rupa paras bukan penghalang bagi Aidil
Anak muda kelahiran negeri di bawah bayu, Aidil Afizin menganggap tidak memiliki rupa paras yang menawan, bukanlah penghalang buatnya untuk membuktikan bakat terpendam seterusnya menggapai impian bergelar pelakon.
Aidil yang minat berlakon sejak kecil ketika menonton filem sentiasa mencari-cari cara untuk mendapat peluang beraksi, dan terus hadir ke ujibakat Fit For Action, dan kini dia akhirnya dipilih.
Menurut Aidil, dia menjadikan pelakon Amerul Affendi sebagai idolanya kerana Amerul merupakan seorang pelakon yang versatil, hebat dan tidak mementingkan rupa paras ketika berlakon.
Saya amat minat dengan Amerul Affendi kerana dia seorang pelakon yang versatil. Beliau tidak mementingkan rupa paras ketika berlakon dan mampu memberi lakonan yang hebat tanpa mengira genre.
Walaupun begitu, saya tidak mahu menjadi Amerul Affendi kedua. Saya ingin menerapkan teknik dan cara lakonan yang diubah kepada cara saya.
Tambah Aidil, mengakui diri masih baharu dalam industri, namun dia percaya bahawa dirinya mampu berlakon pelbagai watak dan setanding Amerul Affendi dalam beberapa tahun yang akan datang.
MMA ke lakon layar
Dari seorang atlet MMA ke pelakon, Erne Marina Ainalisa Mohd Noer atau lebih mesra disapa Lisa sanggup mengambil risiko dan beralih arah 360 darjah untuk menjadi seorang pelakon.
Menurut Lisa, dia ingin menjadi seorang pelakon kerana ianya merupakan keinginan ayahnya, dan dia memilih untuk menjadi seorang pelakon aksi yang versatil sesuai dengan karakter lasaknya.
Berlakon ini pada mulanya bukan impian saya, saya memasuki Fit For Action atas permintaan bapa saya yang ingin melihat saya sebagai seorang pelakon terutama dalam genre aksi. Alhamdulillah saya berjaya di pusingan uji bakat dan ke peringkat seterusnya, saya menganggap ini sebagai satu rezeki.
Sebelum Fit For Action, Lisa pernah memasuki pertandingan sukan bina badan di Singapura dan Indonesia sehingga memenangi Champion of Champion pada tahun 2017 dan 2019.
Saya suka menerokai untuk lebih mengetahui diri saya, selain daripada melakukan aktiviti lasak seperti menunggang motor, aktiviti paranormal dan fitness, berlakon bagi saya adalah sesuatu yang saya perlu cuba untuk mengenal diri saya lagi. Dengan mempunyai sedikit pengetahuan MMA saya ingin menjadi seorang pelakon aksi kerana pelakon aksi wanita di Malaysia sangat sedikit.
Lisa berkata, sekiranya diberi peluang untuk melakonkan watak perempuan ayu, dia sanggup untuk menggalaskan tanggungjawab yang diberi oleh pengarah, kerana dia percaya mereka lebih tahu siapa yang sesuai dengan watak itu.
Saksikan perjalanan lakonan Lisa dan Aidil dalam Fit For Action. Jangan terlepas untuk menonton Fit For Action, pada setiap hari Sabtu, pukul 10.00 malam dan gunakan tanda pagar #FitForActionTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.