berita

Belangsungkawa Adibah Noor, ‘Kau Terlalu Istimewa’

June 18th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Adibah Noor Binti Mohamed Omar merupakan seorang penyanyi dan pelakon Malaysia yang sangat berbakat. Dilahirkan pada 3 September 1970 di Kuala Lumpur, Adibah Noor pernah menjadi guru Bahasa Inggeris selama dua tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya.

Artikel berkaitan: Hidap Kanser Ovari, Adibah Noor Meninggal Dunia

Selain menjadi seorang penyanyi, pelakon dan guru, Adibah Noor juga merupakan duta pusat beli belah dan beberapa jenis barangan.

Kerjaya seni

Nama Adibah mula dikenali di dalam industri seni sejak tahun 1995. Sejak dari itu pelbagai filem dan drama telah dibintangi olehnya. Antara filem lakonan Adibah yang berjaya menambat hati penonton adalah Sepet, Buli Balik, Mukhsin, Gubra, Talentime, Magika, Hoore! Hoore! dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, Adibah turut berlakon di dalam drama popular seperti Phua Chu Kang Sdn Bhd, Oh My English dan Kampung People.

Berbicara mengenai telefilem pula, Adibah Noor telah berlakon sebanyak lima telefilem. Antara telefilem tersebut adalah Cupid, Pendoa yang ikhlas dan Bisik pada Allah. Dikenali sebagai seorang yang periang dan pencinta kucing, Adibah Noor merupakan individu yang sangat baik dan mudah tersentuh apabila mendengar kisah sedih yang menimpa rakan-rakan mahupun masyarakat di sekeliling.

Pada tahun 2005, Adibah Noor berjaya menghasilkan sebuah album yang bertajuk ‘Terlalu Istimewa’ Album tersebut dikeluarkan oleh syarikat SONY-BMG Entertainment Sdn Bhd dan Adibah Noor Entertainment. Terlalu Istimewa ialah tajuk lagu dendangan Adibah Noor yang digubah Azlan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Adibah sendiri. Lagu ini diilhamkan daripada kes Nurul Huda Abdul Ghani, seorang kanak-kanak perempuan yang dirogol dan dibunuh dalam satu kes jenayah yang dihebohkan pada awal tahun 2004.

Lagu Terlalu Istimewa meraih beberapa anugerah muzik berprestij tempatan sepanjang tahun 2006, termasuk juara keseluruhan, juara kategori balada dan vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-21 dan juara keseluruhan Hits 1 RTM. Selain lagu Terlalu Istimewa, Adibah turut mempunyai beberapa single yang lain misalnya, Teman, Zapin Cinta SMS (duet bersama Senario), Appy Thots, Ayah Dan ibu (featuring Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi, Nurfarah Nazirah) – OST Hoore! Hoore!, Bahasa Rindu, Ke Sana Dengan Mu (featuring Sam Innuendo), Malaysia Kau Ku Cinta (featuring Dina Nadzir) dan Setulus Rasa.

Adibah Noor buat ‘come back’ di Gegar Vaganza

Selepas beberapa tahun menyepi dan kurang aktif dalam industri, Adibah Noor kembali melakukan ‘come back’ dengan menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan. Kemunculan Adibah dalam program tersebut ternyata menjadi pengubat rindu buat para peminat yang mahu mendengar suaranya. Siapa sangka, berkat doa daripada keluarga, peminat dan usahanya sendiri, Adibah berjaya ke peringkat akhir dan meraih tempat keempat.

Pada awal tahun ini, ramai kenalan rapat Adibah termasuk para peminat dapat merasakan dia tidak sihat. Bagi sahabat rapat, mereka tahu bahawa penyanyi itu menghidap penyakit kanser ovari. Difahamkan, Adibah telah menjalani pembedahan pada awal bulan Ramadan lalu. Namun siapa sangka, Allah lebih menyayanginya dan dia disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Di media sosial, rata-rata rakan artis meluahkan rasa sebak dan tidak percaya Adibah Noor sudah tiada. Namun, redha dan mendoakan semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman.

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×