berita

Belanjawan 2021 Diluluskan Selepas Menteri Kewangan Umum Peruntukan Tambahan

November 26th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) atau Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pihak pembangkang tanpa melalui undian. Memetik laporan Berita Harian, keputusan kelulusan tersebut telah diumumkan sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Azhar Azizan Harun pada 3.30 petang tadi.

Perbelanjaan negara 2021

Kredit foto: Berita Harian

Menteri Kewangan iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan pelbagai peruntukan tambahan termasuk kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dituntut oleh rakyat khususnya.

Sesi penggulungan perbahasan dari Menteri Kewangan itu bagaimanapun kelihatan disokong oleh Ahli Parlimen yang hadir. Tambahnya, kelulusan RUU itu akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun hadapan.

Sokongan majoriti

Di samping itu, terdapat beberapa perbahasan berhubung perbelanjaan negara bagi tahun 2021 termasuklah menyentuh soal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan sekali bayar untuk petugas hadapan dan moratorium demi membantu rakyat yang terbeban disebabkan pandemik Covid-19.

Perbahasan dari Tengku Datuk Seri Zafrul itu bagaimanapun telah mendapat suara sokongan majoriti Ahli Parlimen yang bersetuju. Namun, hanya terdapat 13 Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan pandangan dari Menteri Kewangan itu termasuklah Datuk Mahfuz Omar dari parti AMANAH-Pokok Sena.

Program i-Sinar KWSP

Tambahan pula, Menteri Kewangan itu menegaskan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan. Dia berkata had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Tanpa mengira sama ada ahli adalah pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

Tunjukkan bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT atau pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

Ada pula ahli yang tidak hilang pekerjaan tetapi gaji, elaun atau bayaran lebih masa dipotong dengan ketara hingga menjejaskan kemampuan mereka menampung perbelanjaan diri dan keluarga. Mereka turut merungut kerana tidak layak memohon dan kerajaan mendengar semua ini.

Agihan Perbelanjaan Persekutuan

Belanjawan 2021 dijangkakan bernilai RM322.5 bilion bagi memastikan negara dan rakyat mampu mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19 pada tahun depan.

Dalam perbahasan dari Menteri Kewangan, terdapat beberapa isu yang menjadi perhatian Dewan Rakyat. Antaranya adalah bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan, bantuan kewangan langsung dan mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Melalui ucapan Belanjawan 2021, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.

Kerajaan telah mencadangkan Program eBelia meningkatkan jumlah eBelia daripada RM50 ringgit kepada RM100 ringgit.

Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluaskan lagi kategori penerima pemberian one-off tersebut kepada kategori Pesara dan Bekas Polis dengan implikasi penerima tambahan adalah dianggarkan seramai 40 ribu orang lagi. Ini menjadikan jumlah penerima pemberian one-off ini seramai 80 ribu orang dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.

Kerajaan juga mencadangkan kenaikan kepada kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar. Bayaran sebanyak RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021 kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Tahniah kepada Menteri Kewangan

Sementara itu, Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana Belanjawan 2021 telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Saya juga ucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.

Sumber: Berita Harian, Malaysia Kini

SKIP THIS AD ×