berita

Benjy Bebas Daripada Tuduhan Miliki Dadah

October 11th, 2013 | by Ai
Isu & Kontroversi

Benjy

Jun lalu, pelakon Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim telah  ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan memiliki beg mengandungi 4.7 gram methamphetamine di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi.

Namun begitu, sekitar Ogos lalu, Benjy telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Ampang.

Artikel Berkaitan :

Berikutan kes tersebut, hari ini pihak Mahkamah Majistret Ampang, telah membebaskan Benjy daripada tuduhan memiliki dadah setelah seorang daripada tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut September lalu.

Benjy

Benjy bebas tuduhan miliki dadah

Selain itu, Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman turut membebaskan empat lagi rakan Benjy atas tuduhan kesalahan yang serupa dan mahkamah memutuskan demikian setelah menerima permohonan dari peguam bela, Amir Hamzah Arshad mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan mahkamah untuk menggunakan budi bicara melepaskan dan membebaskan tertuduh.

Untuk makluman, sebelum ini Benjy telah ditahan bersama lima rakannya, Zain Amir Zainal Khairi, Imran Radzi, Asmanizam, Norazila, dan Afifi Hamidi atas dakwaan memiliki beg mengandungi methamphetamine.

Namun begitu, antara keenam-enam tertuduh, hanya Zain Amir sahaja yang mengaku bersalah manakala lima yang lain minta untuk dibicarakan semula kes mereka.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika disabit kesalahan.

Sumber : Kosmo Online