berita

#BestiesPapeRoger: Nadia Brian Kongsi ‘Journey’ Keluar Dari Stres Pascatrauma Akibat Keganasan Rumah Tangga Ibu Bapa

October 23rd, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Nadia Brian Edisi Khas Mental Health

Gangguan stres pascatrauma (PTSD) merupakan satu masalah kesihatan mental yang membuatkan seseorang individu itu menjadi resah serta panik berpunca daripada pengalaman buruk pada masa lalu.

Malah, ia sekaligus menghasilkan perasaan trauma yang boleh membinasakan kehidupan serta pemikiran seseorang.

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan pada setiap tanggal 10 Oktober setiap tahun, OhBulan! telah melancarkan kempen Besties, Pape Roger. Kempen ini bertujuan memberi ruang kepada semua pejuang pesakit mental termasuk golongan selebriti untuk berkongsi kisah dan pengalaman mereka sendiri.

Bagi edisi kali ini, OhBulan! bakal mengungkap isi hati pelakon jelita, Nadia Brian yang sebelum ini menderita stres pascatrauma akibat daripada keganasan rumah tangga yang dialami ibu bapanya.

Artikel Berkaitan: ‘Ibu Didik Kami Adik Beradik Supaya Tidak Benci Ayah’ – Nadia Brian Berjaya ‘Switch’ Mental, Tak Simpan Dendam

Luahan hati Nadia Brian

Nadia Brian Edisi Khas Mental Health

OhBulan!: Kalau tak keberatan, boleh kongsikan apakah jenis masalah kesihatan mental yang Nadia alami?

Nadia Brian: Saya bukanlah nak buka aib tapi sekadar mahu berkongsi memandangkan perkara ini pun sudah berlaku beberapa tahun yang dulu. Saya mengalami stres pascatrauma ekoran keganasan rumah tangga yang dialami oleh ibu saya pada ketika itu. Pada ketika itu, ibu saya menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan perkara itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada anak-anak termasuk diri saya.

OhBulan!: Apakah perasaan Nadia ketika menjadi saksi keganasan rumah tangga pada ketika itu?

Nadia: Saya agak terkejut tapi sebenarnya waktu itu saya rasakan ia satu perkara yang normal sebab biasalah kecil lagi kan? Kita tak tahu bezakan sama ada perbuatan itu baik atau tidak (mula menitiskan air mata). Cumanya bila saya dengar pergaduhan dan bunyi bising pastinya akan membuatkan saya berasa takut.

OhBulan!: Sepanjang kejadian tersebut berlaku, Nadia dan adik-beradik ada mengalami kecederaan?

Nadia: Alhamdulillah tak ada apa-apa yang berlaku pada saya dan adik beradik lain. Cumanya mak saya pernah dikejarkan ke hospital ekoran beberapa insiden pada waktu itu. Dan sebenarnya kami adik-beradik pernah juga tidak berjumpa dengan ibu hampir dua tahun.

Nadia Brian alami stres pascatrauma

Nadia Brian Edisi Khas Mental Health

OhBulan!: Nadia kata pada awalnya merasakan apa yang berlaku itu satu perkara normal. Jadi bilakah waktu sebenar yang Nadia alami stres pascatrauma?

Nadia: Saya mula rasakan saya mengalami stres pascatrauma itu apabila teringatkan kembali pengalaman yang dirasai dahulu. Perkara itu membuatkan saya berasa takut dan apabila meningkat dewasa, saya mula lakukan kajian dan penyelidikan mengenai masalah kesihatan mental. Barulah saya tahu apa yang saya alami itu merupakan salah satu kesan daripada keganasan rumah tangga ibu bapa saya.

Dalam pada itu, Aktres jelita berusia 32 tahun itu memaklumkan bahawa dirinya dan ayah mempunyai hubungan yang sangat baik namun mengakui masih janggal setiap kali berjumpa.

Kami okey, alhamdulillah. Sekarang ayah menetap di Nibong Tebal dan kalau saya ke Pulau Pinang, saya akan cuba luangkan masa bertemu dengannya. Cuma biasalah ada sedikit rasa janggal ketika berjumpa. Tapi saya pegang satu sahaja, baik buruk pun, dia tetap ayah saya. Tak ada ayah, tak adalah saya di dunia ini.

Ketika disoal adakah pernah terdetik rasa ralat dengan kehidupan keluarganya? Pelakon filem ‘Rumah Madu Ku Berhantu’ itu mendedahkan bahawa pada mulanya dia mempunyai perasaan sedemikian namun tetap percaya ini merupakan perancangan terbaik Allah SWT buat dirinya dan keluarga.

Sejujurnya saya ada perasaan itu. Waktu saya belajar dulu, saya macam rasa geram tapi bila dah lama-lama saya mula menerima ketentuan takdir. Saya berasa sangat bersyukur mempunyai seorang ibu yang kuat menjaga kami adik-beradik dengan bantuan nenek saya. Dan lebih terharu apabila ayah kepada rakan-rakan di universiti juga menganggap saya seperti anak mereka. Saya percaya mungkin Allah ada perancangan terbaik buat hamba-Nya. Dan saya sangat yakin ayah saya sayangkan saya dan saya pun sayang dia.

Stres pascatrauma mampu untuk mendorong seseorang itu melakukan perkara di luar kawalan namun, Nadia berpendapat dia lebih memilih untuk mengawal perasaannya dan mengelak daripada melakukan perkara yang tidak diingini.

Tidaklah sampai melakukan perkara di luar kawalan cumanya biasalah perempuan kan? Bila waktu datang bulan (haid), saya akan terlebih emosi sedikit. Selain itu, setiap kali saya menonton drama atau filem yang berkait rapat dengan pengalaman dulu, saya akan cepat tersentuh. Tidaklah sampai untuk mencederakan diri kerana saya pegang satu ayat iaitu setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang berbeza. Pascatrauma itu tetap akan ada cumanya jangan terlalu ikutkan perasaan.

OhBulan!: Nadia ada berjumpa atau rujuk dengan doktor untuk membantu mengatasi stres pascatrauma?

Nadia: Setakat ini saya tidak ada berjumpa dengan mana-mana doktor untuk dapatkan rawatan. Sebab pada saya, belum sampai tahap meraung apabila mengingati kisah silam. Saya sudah maafkan ayah saya, tiada perasaan dendam. Cuma pada masa akan datang tak tahu lagi saya macam mana. Kalau saya perlu untuk berjumpa dengan pakar saya akan melakukannya.

Tak mampu sekuat ibu

Nadia Brian Edisi Mental Health OhBulan!

OhBulan!: Bila sudah meningkat dewasa, Nadia pernah tanya kepada ayah kenapa dia bersikap sebegitu?

Nadia: Saya pernah tanyakan pada ayah kenapa dia bertindak sedemikian. Ayah dah minta maaf dan saya jadikan perkara yang lepas sebagai satu pengajaran. Ayah pun dah bahagia dengan kehidupan sekarang. Mungkin jodoh dia dengan mak saya tidak berpanjangan. Jujur saya katakan saya dengan ayah tidak mempunyai sebarang masalah.

OhBulan!: Apakah fasa terendah yang Nadia alami sewaktu mengalami stres pascatrauma?

Nadia: Saya rasa fasa terendah saya adalah selepas saya bercerai beberapa tahun yang lalu. Ketika itulah orang kutuk saya macam-macam tetapi disebabkan itu jugalah saya bangkit dan berusaha menjadi lebih kuat.

Berkongsi mengenai pengorbanan ibu, Nadia berkata dia begitu kagum dengan kekuatan yang ditunjukkan ibu tercintanya itu. Menurutnya lagi, sekiranya dia berada di tempat ibunya, belum tentu dirinya mampu untuk kuat berdepan dan mengatasi dugaan tersebut.

Saya rasa mungkin saya tidak sekuat ibu. Saya sangat berbangga dengan ibu kerana dia mampu menjaga empat orang anak seorang diri tanpa seorang suami. Saya percaya Allah dah aturkan kehidupan yang terbaik buat ibu saya dan keluarga.

Walaupun gaji ibu dulu tidak seberapa, tapi dia mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Sebagai seorang ibu tunggal, saya lihat ibu saya tetap teguh bertahan mencari rezeki yang halal seorang diri demi membesarkan kami adik-beradik.

Sementara itu, Nadia berkongsi mengenai ibunya yang sentiasa tabah dan kuat sehingga mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah psikologi bagi mengatasi masalah stres pascatrauma yang dialami.

Untuk pengetahuan semua, ibu saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang ijazah psikologi di kala usianya menjangkau 54 tahun. Sebenarnya ibu saya sambung belajar disebabkan untuk mengatasi serta menangani stres pascatrauma yang dialami. Kalau nak sebut mengenai pascatrauma sudah tentu ibu yang lebih rasa sakit.

Selepas bercerai dengan ayah saya, hampir 23 tahun lamanya ibu sendirian menjaga anak-anak sehinggalah dia bertemu jodoh, alhamdulillah. Saya sangat gembira melihat kehidupan ibu yang sekarang kerana ayah tiri seorang yang sangat baik. Kami sebagai anak-anak merestui kerana akhirnya dia bertemu dengan kebahagian.

Ibu, keluarga dan peminat dorong Nadia terus kuat

Nadia Brian Edisi Khas Mental Health

OhBulan!: Apa yang membuatkan Nadia terus kuat menjalani hari-hari yang akan datang?

Nadia: Bagi saya hidup ini sekejap dan hanyalah pinjaman Allah. Apa yang membuatkan saya terus kuat tentunya ibu dan keluarga saya. Selain itu, peminat-peminat saya juga menjadi penyebab saya untuk terus kuat menjalani kehidupan. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai peminat yang sangat menghargai dan sebab itulah saya sentiasa cakap pada diri, ‘Saya perlu terus kuat dan bertahan’. Sebabnya kalau saya tunjuk diri saya lemah, macam mana saya nak yakinkan pada mereka untuk berjaya kan?

OhBulan!: Tentunya berdepan dengan stres pascatrauma ini sangat sukar kan? Apakah cara yang dilakukan Nadia untuk mengatasi masalah ini?

Nadia: Cara saya mengatasi masalah stres pascatrauma dengan sentiasa mencuba untuk memaafkan ayah. Sudah tentu akan ada waktu di mana saya akan teringat kembali keganasan rumah tangga yang berlaku pada ibu saya tetapi saya akan cuba untuk tidak bertindak di luar kawalan. Saya juga sentiasa berpegang dengan nasihat ibu saya iaitu jangan pernah membenci ayah kerana apa yang berlaku itu antara ibu dan ayah sahaja. Didikan ibu yang membuatkan saya berjaya mengatasi masalah stres pascatrauma ini. Saya sentiasa berdoa agar tidak lagi berdepan dengan situasi yang sama seperti ibu.

OhBulan!: Apa nasihat dan kata-kata semangat dari Nadia buat mereka di luar sana yang sedang berdepan dengan keganasan ruma tangga?

Nadia: Kepada anda di luar sana yang mungkin berdepan dengan masalah keganasan rumah tangga, cuba cari bantuan dan jangan rasa takut. Jangan biarkan diri anda berada dalam keadaan sedih dan takut kerana itu boleh mendorong kepada depresi dalam diri. Bila timbulnya depresi, akan menggangu kehidupan seharian anda. Buat mereka yang berjaya mengatasi keganasan rumah tangga, saya ucapkan tahniah kerana anda telah berjaya melakukan perkara yang betul dan terus pandang ke depan. Setiap manusia sudah tertulis perjalanan hidupnya dan jangan pernah berputus asa.

Nak tahu lebih lanjut mengenai masalah mental, kaedah rawatan, perkongsian pesakit mental yang lain?

Korang boleh ke Besties, Paper Roger untuk baca artikel-artikel lain. Korang juga boleh buat luahan hati secara anonymous tau! So guys, pape roger ok?

Video

SKIP THIS AD ×