
Ribuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan dengan dilema besar apabila perlu membuat keputusan dalam memilih bidang pengajian universiti di era yang makin kompetitif hari ini.
Artikel Berkaitan: Anak Bongsu Abby Abadi & Norman Hakim Raih Keputusan Cemerlang Bagi Subjek Teras SPM 2025
Artikel Berkaitan: Pinn Yang Dedah Raih Hanya 1A, Titip Kata Semangat Buat Calon SPM – ‘Apa Yang Anda Buat Selepas Itu Lebih Penting’
Bidang pengajian

Memilih kursus bukan lagi soal minat semata-mata malah perlu selari dengan kehendak industri dan peluang pekerjaan.
Memetik laporan Kini, terdapat lima bidang pengajian yang mudah mendapat kerja di Malaysia.
- Teknologi Maklumat (IT) dan sains komputer
Malaysia yang menuju ke arah pendigitalan menyeluruh dalam sektor awam dan swasta amat memerlukan individu yang mahir dalam teknologi.
Permintaan terhadap pakar IT meningkat dari tahun ke tahun, dengan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa mencari bakat untuk membantu mereka menghadapi cabaran era digital.
Graduan dalam bidang ini tidak hanya mendapat peluang pekerjaan yang banyak tetapi juga berpotensi memperoleh pendapatan yang lumayan.
- Kejuruteraan
Bidang ini terus menjadi yang pertama di barisan hadapan sebagai salah satu bidang yang relevan di Malaysia.
Pembangunan infrastruktur yang pesat di Malaysia, termasuk projek seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan pembangunan bandar baru, memerlukan khidmat jurutera yang berkemahiran tinggi.
- Sains kesihatan dan perubatan
Sektor kesihatan dianggap sebagai sektor penting (essential) yang tidak terkesan oleh trend semasa sekali gus memberi perbezaan dengan sesetengah industri lain yang mengalami turun naik ekonomi.
Dengan kesedaran yang semakin meningkat tentang kesihatan dan kesejahteraan, permintaan untuk pekerja dalam bidang perubatan dan sains kesihatan tidak pernah berkurangan.
Sebagai negara yang sedang menuju status negara maju, Malaysia perlu memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Oleh itu, graduan dalam bidang perubatan dan kesihatan sentiasa mendapat peluang kerjaya yang meluas.
- Perakauan dan kewangan
Bidang perakauan dan kewangan sering dianggap sebagai pilihan selamat kerana permintaannya yang konsisten hampir dalam semua industri.
Kebanyakan syarikat kecil atau besar memerlukan akauntan dan pakar kewangan bagi menguruskan akaun, audit, cukai dan aliran tunai.
Syarikat multinasional yang mempunyai operasi di Malaysia sering memerlukan bakat dalam bidang kewangan yang mahir dalam standard antarabangsa.
Kelayakan tambahan seperti Chartered Accountant (CA), Certified Public Accountant (CPA), atau Chartered Financial Analyst (CFA) boleh meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dalam bidang ini.
- Pendidikan dan latihan
Seperti yang diketahui, bidang pendidikan merupakan asas kepada pembangunan sesebuah negara.
Malaysia, yang kini memfokuskan kepada peningkatan kualiti pendidikan, memerlukan lebih ramai guru, kaunselor pendidikan, dan tenaga pengajar yang berkelayakan.
Bidang ini tidak hanya menawarkan peluang pekerjaan yang stabil, tetapi juga memberikan kepuasan dalam membantu mencorakkan masa depan generasi muda.
Pilihan kursus universiti bukan sekadar mengikut minat namun perlu dibuat dengan pertimbangan yang matang.
Pemilihan kursus yang bijak mampu membantu individu melangkah lebih mudah ke alam pekerjaan sekali gus menjamin masa depan yang kukuh.
Sumber: Kini








