Dua penyanyi terkenal, Black Hanifah dan Adira Suhaimi kembali mencuri tumpuan menerusi gandingan duet balada terbaharu berjudul ‘Memilih Kamu’, ciptaan duo komposer prolifik, Mas Dewangga dan Jova Devito.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafiz Suip Sahkan Sudah Bercerai Pada Mei Lalu, Serah Hak Penjagaan Kedua Anak Kepada Bekas Isteri

Kisah cinta tak sampai

Mengulas tentang maksud di sebalik lagu tersebut, Black menggambarkannya sebagai kisah cinta yang terpendam dalam persahabatan.

Lagu ini mengisahkan dua sahabat, seorang lelaki dan seorang wanita. Lelaki itu sebenarnya menyimpan perasaan terhadap sahabat wanitanya, tetapi memilih untuk memendamkannya kerana wanita itu sudah berpasangan.

Dia hanya memerhati dari jauh, mendoakan kebahagiaan wanita itu walaupun dalam hati berasa sedih apabila hubungan wanita tersebut mula bermasalah. Namun, akhirnya mereka juga disatukan.

Sementara itu, Adira menyifatkan ‘Memilih Kamu’ sebagai kisah cinta yang tidak kesampaian, namun penuh pengorbanan.

Lagu ini tentang mencintai seseorang dalam diam. Walaupun tidak dapat bersama, tetapi tetap menyayangi dari jauh. Itulah mesej utama lagu ini.

Rakam berasingan

Walaupun proses rakaman dilakukan secara berasingan, Adira berkata, mereka berjaya meluahkan emosi yang dituntut dalam lagu tersebut.

Lirik lagu ini sendiri sudah cukup kuat untuk menggambarkan emosi. Kami juga diberi demo terlebih dahulu, jadi walaupun tidak merakam bersama, ‘feel’ lagu itu tetap sampai.

Black pula memuji profesionalisme pasukan produksi yang menjayakan rakaman dalam masa kurang satu jam.

Pertama kali saya bekerjasama dengan Mas Dewangga, dan saya kagum dengan cara kerja mereka. Hasil akhirnya membawa warna baharu dalam nyanyian saya, segar dan berbeza daripada biasa.

Penggambaran Muzik Video

Video muzik ‘Memilih Kamu’ dirakam di Bukit Fraser yang turut memberikan pengalaman berbeza buat Black.

Kami bertolak seawal jam 4.30 pagi dan tiba di lokasi dalam keadaan masih gelap. Suasana pagi yang tenang dan dikelilingi alam semula jadi menjadikan rakaman ini cukup istimewa dan penuh kenangan.

Sementara itu, menurut komposer Mas Dewangga, lagu ini sememangnya ditulis khusus untuk Black dan Adira sebagai lagu tema (OST) bagi sebuah drama tempatan.

Saya diberikan sinopsis terlebih dahulu, jadi lagu ini memang dirangka untuk mereka berdua. Format duet dipilih kerana ia paling sesuai untuk menggambarkan konflik dua watak utama dalam cerita.

‘Memilih Kamu’ sudah boleh distrim di semua platform digital bermula 22 Ogos lalu dan video muzik boleh di tonton di saluran YouTube Nova Music Videos.