Membesarkan cahaya mata merupakan satu fasa kehidupan yang sangat indah, namun tidak dapat dinafikan ia datang bersama tanggungjawab kewangan yang besar.

Kos membesarkan seorang anak

Menurut kajian AIA Malaysia, kos maksimum untuk membesarkan seorang anak di Malaysia boleh mencecah sehingga RM1.1 juta. 

Secara purata di Lembah Klang pula, kos seorang anak dianggarkan sekitar RM1,320 sebulan berdasarkan data KWSP Belanjawanku. Kos ini merangkumi keseluruhan perjalanan hidup anak dari lahir hingga ke peringkat universiti.

Fasa awal iaitu kelahiran hingga umur empat tahun melibatkan kos bersalin sekitar RM4,000 hingga RM20,000 bergantung hospital, di mana hospital kerajaan jauh lebih rendah berbanding swasta. 

Selepas itu, kelengkapan bayi pula memerlukan sekitar RM1,500 hingga RM2,500, manakala kos bulanan boleh mencecah RM1,300 termasuk susu, lampin, makanan dan penjagaan anak. Secara keseluruhan, fasa awal ini boleh mencapai sekitar RM80,000.

Untuk pendidikan sekolah selama 11 tahun, sekolah kerajaan dianggarkan sekitar RM35,000 secara keseluruhan, manakala sekolah swasta atau antarabangsa boleh meningkat sehingga RM200,000 hingga RM1 juta bergantung yuran dan aktiviti.

Di peringkat universiti pula, kos bermula sekitar RM5,000 setahun untuk asasi atau matrikulasi, manakala universiti awam sekitar RM20,000 setahun (anggaran RM60,000 keseluruhan). Universiti swasta boleh mencecah RM60,000 setahun dan pengajian luar negara pula sekitar RM145,000 setahun termasuk sara hidup.

Keseluruhannya, kos membesarkan anak boleh berada dalam lingkungan RM400,000 hingga RM1.1 juta.

Walaupun jumlahnya besar, ibu bapa digalakkan merancang awal melalui simpanan seperti ASNB, Tabung Haji atau SSPN-i Plus, serta insurans pendidikan sejak anak masih kecil. 

Sumber: Beautifulnara