
Isu mengenai tempoh penyimpanan daging korban sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam setiap kali tibanya Aidiladha.
Artikel Berkaitan: Gabung Korban & Akikah Sebab Nak Jimat Kos, Boleh Ke Menurut Ulama?
Artikel Berkaitan: Buntu Soal Jodoh, Fasal Kerja.. Rebut Ganjaran Hari Arafah, Ini Senarai Doa Yang Boleh Dibaca
Hukum simpan daging korban lebih tiga hari
Memetik Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama telah berbeza pendapat terhadap hukum menyimpan daging korban melebihi tiga hari tiga malam kepada dua pendapat yang masyhur iaitu:
Pertama: Haram menyimpan daging korban melebihi tiga hari
Ini adalah pendapat Ali RA dan juga pendapat Ibn Umar R.Anhuma. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:
شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَبَدَأَ بِالصَّلاَةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَانَا أَنْ نَأْكُلَ مِنْ لُحُومِ نُسُكِنَا بَعْدَ ثَلاَثٍ
Maksudnya: Aku telah bersama’Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”. Riwayat Muslim (1969)
Seterusnya, Ibn Umar R.Anhuma juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ يَأْكُلْ أَحَدٌ مِنْ لَحْمِ أُضْحِيَّتِهِ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ
Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari. Riwayat Muslim (1970)
Di dalam sebuah athar juga ada menyebutkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma tidak memakan daging korban melebihi 3 hari dan ini diriwayatkan sendiri oleh anaknya Salim.
Kedua: Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi tiga hari dan hadith mengenai larangannya itu telah dimansukhkan
Ini adalah pendapat jumhur para ulama’.
Difahamkan, terdapat banyak hadith yang menunjukkan harus untuk menyimpan lebih tiga hari, antaranya riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah R.Anha adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi tiga hari dan jawab ‘Aisyah R.Anha:
مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya. Riwayat Al-Bukhari (5423).
Begitu juga dengan beberapa hadith yang menunjukkan bahawa larangan tersebut telah dimansukhkan, antaranya:
Daripada Salamah bin al-Akwa’, telah berkata Rasulullah SAW:
مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَفِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَىْءٌ. فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ الْمَاضِي قَالَ : كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا فَإِنَّ ذَلِكَ الْعَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”. Riwayat Al-Bukhari (5569) & Muslim (1974).
Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
يَا أَهْلَ الْمَدِينَةِ لاَ تَأْكُلُوا لُحُومَ الأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلاَثٍ. وَقَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ . فَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّ لَهُمْ عِيَالاً وَحَشَمًا وَخَدَمًا فَقَالَ كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَاحْبِسُوا أَوِ ادَّخِرُوا
Maksudnya: Wahai ahli Madinah. Janganlah kalian makan daging korban melebihi tiga (hari). Maka para sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW sesungguhnya mereka mempunyai anak-anak dan juga hamba yang perlu diberi makan maka Rasulullah SAW berkata: “Makanlah, dan berikan makan kepada orang lain dan simpanlah (daging tersebut)”. Riwayat Muslim (1973),
Kesimpulannya, hukum menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari adalah dibolehkan dan inilah pendapat yang lebih kuat berdasarkan hadis-hadis yang sahih.
Sumber: Mufti WP