Menteri Kanan Keselamatan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan penggunaan pengangkutan darat dan penunggang motosikal melakukan pergerakan antara negeri bermula 7 Mei hingga 10 Mei ini.
Permohonan dibuat melalui Gerak Malaysia
Orang ramai yang terkandas sebelum ini, boleh kembali ke kediaman masing-masing dengan memohon kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia di Google Play atau App Store.
Memetik laporan Sinar, keputusan ini dibuat Datuk Seri Ismail Sabri adalah bagi orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke negeri masing-masing dan mengambil ahli keluarga mereka yang terperangkap di kampung.
Bagi mereka yang berada di Kuala Lumpur dan mengambil ahli keluarga di kampung, permohonan juga perlu dibuat melalui Gerak Malaysia ini dan memaklumkan mengenai perjalanan mereka sama ada mereka balik hari atau tinggal di beberapa di kampung.
Pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya yang dilalui.
Surau sepanjang lebuh raya juga akan ditutup dan orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya.
Perlu dapat permit yang sah
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Datuk Huzir Mohamed menegaskan orang ramai perlu mendapatkan permit perjalanan yang sah daripada pihak berkuasa.
Kebenaran pergerakan antara negeri ini hanya untuk orang ramai yang terkandas di kampung yang mahu kembali ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik bekerja sahaja.
Adalah diingatkan bahawa orang ramai yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau penunggang motosikal perlu mendapatkan kelulusan pergerakan antara negeri daripada polis melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.