Pelakon dan penyanyi, Eira Syazira menafikan dakwaan anak sulungnya, Amarra Sofea Rose terlibat dalam kes buli membabitkan seorang pelajar sekolah seperti dilaporkan dalam sebuah berita, sebelum ini.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kadang-Kadang Maaf Lebih Kuat Dari Benar’ – Eira Syazira

Abaikan dakwaan netizen

Eira atau nama sebenarnya Syazira Suhaimi, 41, menjelaskan, dia dan suami yang juga penyampai radio, Azad Jasmin, tidak terkesan dengan komen serta tuduhan netizen kerana yakin dakwaan tersebut tidak benar.

Ramai yang menghantar berita itu kepada saya. Apabila membacanya, saya okay sahaja kerana itu bukan anak saya. Ada juga baca komen netizen yang petik nama saya dan suami, namun saya hanya membiarkan.

Eira berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya duet bersama Nabila Maharani berjudul Bawang Putih Bawang Merah, di Hotel Le Meridien, Putrajaya, pada Isnin.

Bercerita lanjut, ibu tiga anak itu berkata dia turut mendapatkan penjelasan daripada Amarra mengenai isu tersebut.

Kanak-kanak berusia 13 tahun itu menegaskan dakwaan berkenaan tidak masuk akal kerana dia sendiri mempunyai tona kulit yang sama.

Dalam gosip itu, disebut kononnya pembuli memperlekehkan warna kulit mangsa. Tapi anak saya kata, kulit dia pun gelap dan tidak begitu cerah.

Anak saya kata buat apa dia nak ejek orang lain? Saya tanya Amarra, sama ada dia tahu orang kaitkan dirinya sampai konon nak mengasari mangsa.

Terdahulu, seorang wanita dikenali sebagai Siti meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah sejak Julai tahun lalu.

Dakwa Siti, perbuatan itu dilakukan oleh beberapa pelajar termasuk anak kepada seorang penyampai radio terkenal, sehingga menjejaskan emosi dan kesihatan mental anaknya.

Susulan pendedahan tersebut, Siti memberitahu pihak media bahawa isteri kepada penyampai radio berkenaan akhirnya tampil memohon maaf.

Namun, permohonan maaf itu tidak dibuat secara bersemuka sebaliknya disampaikan melalui pihak sekolah selepas Siti mengemukakan bukti kejadian.

Difahamkan, seramai lima pelajar terbabit dalam kes tersebut, termasuk anak penyampai radio berkenaan, dan pihak sekolah hanya mengenakan tindakan amaran sebagai langkah disiplin.