Band Sekumpulan Orang Gila atau SOG mengakui populariti yang semakin melonjak turut membuka ruang kepada pelbagai kecaman netizen terhadap imej dan karya yang mereka hasilkan.

Artikel Berkaitan: Raih 1 Billion Strim, Yuna Buktikan Penyanyi ‘Independent’ Mampu Berjaya – ‘ Saya Berkarya Kerana Minat’

Jangan menilai luaran

Menurut vokalis utamanya, Raja Nazrin, mereka tidak pernah mengambil hati dengan komen negatif netizen termasuk yang mempertikaikan penampilan kumpulan tersebut yang dikatakan tidak selari dengan lagu berunsur kerohanian yang pernah dibawakan.

Kami kumpulan SOG langsung tidak kisah dengan segala kecaman yang dilemparkan, dosa pahala bukan kerja atau tugas manusia yang tentukan.

Kadang ada yang persoalkan buat lagu insaf tapi penampilan kami bersubang dan sebagainya. Pada pendapat saya mengapa tidak kita ambil sahaja sesuatu yang baik berbanding tidak.

Raja Nazrin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Ajar Aku yang menyaksikan kolaborasi antara SOG bersama Aizat Amdan dan Yuna di The Campus, Ampang, pada Khamis.

Tambah Nazrin, kumpulannya percaya seseorang tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan penampilan luaran semata-mata kerana mesej sebenar terletak pada isi dan pengajaran yang cuba disampaikan menerusi karya.

Sebenarnya apabila lebih dikenali adalah peluang untuk memberi pengajaran kepada manusia di luar sana. Kita nak baca buku bukan lihat kulit buku sahaja.

Ada ketika orang berilmu yang kata ‘don’t judge a book by its cover’, tetapi kadang kala mereka sendiri yang ‘judge’. Sebenarnya perlu baca intipati sepenuhnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota SOG iaitu Raja Nazmin berkata, mereka memahami lumrah manusia yang cenderung membuat penilaian berdasarkan luaran terlebih dahulu.

Tetapi tidak boleh tepis dengan sikap manusia yang hanya melihat luaran sahaja. Bukan salah mereka, tetapi itu realitinya. Lebih baik maafkan mereka, kerana mungkin kami lah punca sehingga mereka berkata sebegitu.

Hak mereka untuk menilai lebih dalam atau cukup menilai sekadar dari luaran sahaja. Itu keputusan mereka. Yang penting kami tidak menilai mereka.

Manusia tidak akan pernah lari daripada berbuat salah. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, itu adalah sifat manusia. Kalau nak sempurna baik jadi robot atau kahwin dengan robot.

Single Ajar Aku bukan sekadar kolaborasi biasa, sebaliknya menjadi simbol keberanian dua identiti muzik berbeza yang sanggup keluar daripada zon selesa demi menghasilkan karya yang lebih segar dan jujur.

Lagu tersebut menggabungkan elemen emosi serta penceritaan mendalam yang sinonim dengan Aizat bersama kekuatan muzik post-hardcore SOG, sekali gus melahirkan sebuah karya pop rock yang sarat dengan tenaga dan perasaan.