Pelakon, Shaheizy Sam menceritakan semula insiden aneh yang berlaku di lokasi penggambaran filem Indera apabila sebuah rumah yang dijadikan sebagai ‘props’ tiba-tiba hangus terbakar.

Artikel Berkaitan: Shaheizy Sam ‘Bersara’ Buat Adegan Bersentuhan – ‘Babak Mesra Boleh Datangkan Fitnah’

Insiden aneh

Menurut Sam, saksi kejadian adalah salah seorang krew produksi yang ketika itu berehat di dalam kenderaan di hadapan rumah berkenaan.

Ada kejadian aneh berlaku ketika penggambaran. Kalau penonton menonton filem ini nanti, mungkin akan perasan pada awal cerita ada sebuah rumah, tetapi di pertengahan hingga ke akhir filem, rumah itu sudah tiada.

Sebabnya, rumah tersebut terbakar. Hanya seorang sahaja yang menjadi saksi kejadian iaitu abang audioman.

Abang audioman itu dia tidak larat nak balik, semua krew dan pelakon sudah balik. Dia konon nak rehat dalam kereta sahaja di depan rumah itu.

Lebih menyeramkan, rumah itu dikatakan hangus dijilat api dalam sekelip mata tanpa diketahui punca sebenar.

Dia kata baru sahaja terlelap sekejap, tiba-tiba ternampak bayangan cahaya oren kemerahan. Apabila dia membuka mata, rupanya api sedang marak. Sekelip mata rumah itu terbakar.

Malah, dia sebenarnya belum betul-betul tidur pun lagi. Baru nak lelap, sudah perasan ada cahaya.

Sam mengetahui tentang kejadian itu pada keesokan harinya dan menganggap insiden berkenaan sebagai momen paling mengerikan sepanjang penggambaran filem tersebut.

Saya dapat berita ini keesokan pagi dan rasa itulah kejadian paling menakutkan untuk saya sepanjang penggambaran.

Selain Sam, Indera turut dibintangi Azira Shafinaz, Ruminah Sidek dan ramai lagi pelakon hebat. Filem arahan Feroz Kader ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Ogos lalu.