Kalau sebut tentang isu kesihatan mental, mesti ramai yang fikir selalunya berpunca dari masalah perhubungan, tekanan kerja dan pergolakan akibat pandemik kan?
Tapi, jangan tak tahu, selain semua masalah di atas ni, menjalani kehidupan dengan masalah kulit sepanjang hayat seperti dermatitis atopik (AD) juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.
Haa, sempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia ini, kami akan berkongsi lebih lanjut tentang masalah AD dari Dr Kartini Rahim, Pakar Perunding Dermatologi dan membawa pembaca untuk meninjau kehidupan seorang pesakit yang mengalami AD.
Betul ke dermatitis atopik dan kesihatan mental ni benar-benar ada kaitan?
Mesti ada yang kata, takkanlah masalah kulit ni boleh memberi kesan dan menjejaskan kesihatan mental seseorang kan?
Untuk pengetahuan semua, mereka yang menghadapi masalah kulit ni selalunya akan mengalami gejala dan kesan seperti tidak nyenyak tidur dan daya tumpuan yang lemah kerana sentiasa berasa gatal; kulit kering yang menyebabkan ia kelihatan bersisik; kulit rasa sakit, luka dengan kudis yang meleleh dan berkeruping; serta banyak lagi.
Menurut Dr Kartini, “Ramai orang hanya melihat dermatitis atopik dari aspek fizikal atau yang kelihatan, tetapi ini adalah masalah kulit kronik (sepanjang hayat), yang boleh meninggalkan parut mendalam pada emosi, sedalam parut fizikal.
“Selama bertahun-tahun merawat ramai pesakit, saya melihat sendiri tekanan emosi yang mereka lalui, daripada ejekan kejam yang menyinggung perasaan dan pengasingan sosial di sekolah, kepada keyakinan diri yang rendah di tempat kerja selain mengalami masalah hubungan intim. Semua ini boleh menyebabkan kesunyian dan kemurungan, bahkan sehingga terlintas di fikiran untuk membunuh diri.” jelasnya.
Ini antara dapatan kajian yang mengaitkan AD dengan kesihatan mental:
- Sehingga 30% kanak-kanak mengalami masalah untuk tidur1
- 86% pesakit mengelak daripada melakukan aktiviti atau mengenakan pakaian tertentu kerana AD, contohnya berenang atau memakai seluar pendek 2
- 51% pesakit berasa tidak gembira dan/atau murung apabila AD menyerang 3
- 41.9% berasa malu kerana keadaan kulit mereka 4
- 39.3% pesakit muda pernah dibuli kerana AD 5
- 33.9% pesakit dewasa berasa didiskriminasi di tempat kerja dan 36.6% percaya kerjaya mereka juga terjejas 6
Lebih menyedihkan, gejala-gejala ini turut mempengaruhi tidur, aktiviti dan gaya hidup penjaga mereka, terutamanya ibu bapa, selain memberi kesan pada emosi disebabkan sentiasa berasa bimbang, marah, sedih, malu dan sebagainya.
Adakah ia benar-benar teruk?
Jika ditanya samada gejala AD ini benar-benar teruk, jawapannya adalah YA!
Masih jelas di ingatan Azura, seorang kakitangan bank yang didiagnos mengalami masalah AD pada usia 3 tahun akan keadaan kulitnya yang gatal itu berdarah apabila digaru, menyebabkan pakaiannya ‘terhias’ dengan tompok-tompok darah.
Walaupun masalah itu berterusan sehingga dewasa, tetapi keadaannya terkawal selama bertahun-tahun sehinggalah dia hamil dan menyebabkan gejala AD memuncak. Akhirnya, pada tahun 2021, dia mengalami episod serangan yang amat teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.
“Sebelum ini, gejala AD tidak pernah muncul di muka saya, tetapi kali ini, seluruh muka saya menjadi merah, bengkak dan sangat sakit, kulit saya rasa seperti terbakar. Episod serangan inilah yang menyebabkan rakan sekerja mendapat tahu yang saya mengalami masalah AD. Dulu saya tidak mahu memaklumkan perkara ini kepada mereka kerana saya tahu pasti banyak soalan yang akan ditanya dan saya rasa ia memalukan,” kata Azura.
Jelas Azura, individu dengan AD perlu tahu keadaan diri sendiri dan apakah pencetus gejala AD kerana ia berbeza bagi setiap orang.
Bagi Azura, peluh dan sinaran matahari yang terkena terus pada kulit akan mencetuskan gejalanya dan apabila merancang untuk bercuti, dia perlu memastikan tempat yang dituju tak terlalu panas serta memakai pakaian daripada kain kapas supaya tidak berpeluh dan sarung lengan untuk melindungi kulit.
“Bagaimanapun, pada hari-hari saya mengalami serangan, saya perlu berkurung di dalam bilik, dan menggunakan pembalut sejuk dan pendingin hawa untuk meredakan gejala yang dialami. Episod serangan yang serius ini berlarutan selama 7 hingga 10 hari, dan dalam tempoh itu, saya tidak dapat melakukan sebarang kerja rumah atau memasak.
“Saya bersyukur dikurniakan suami yang banyak memberi sokongan dan dialah yang menguruskan keperluan rumah tangga dan anak-anak. Anak-anak juga faham bahawa mereka tidak boleh mengganggu saya apabila saya mengalami gejala AD yang teruk, jadi mereka belajar menguruskan diri sendiri.”
Memandangkan AD benar-benar tak dapat disembuhkan, apakah yang boleh kita lakukan?
Perkara paling utama dalam menguruskan AD adalah bermula dengan diagnosis dan dapatkan nasihat doktor bagi mendapatkan pelan rawatan holistik yang berkesan. Ini kerana, masalah AD setiap pesakit tidak sama dan berbeza dari segi kombinasi gejala, pencetus dan pilihan rawatan yang menawarkan kelegaan.
Ini merupakan pilihan rawatan yang terdiri daripada terapi bukan ubat kepada terapi farmaseutikal: 7
- penggunaan pelembap dan emolien secara berkala untuk melegakan kegatalan, mengurangkan risiko jangkitan dan membantu mengekalkan fungsi penghalang pada kulit
- kortikosteroid topikal dan perencat kalsineurin topikal untuk mengurangkan tindak balas keradangan yang berlaku semasa serangan
- balutan basah
- fototerapi
- ubat oral seperti steroid dan antibiotik
- imunosupresan oral atau suntikan
Selain itu, terdapat juga bentuk rawatan lain iaitu terapi biologik yang didapati membantu ramai pesakit yang mengalami AD sederhana-ke-teruk, yang tidak mendapat kelegaan secukupnya dengan menggunakan bentuk rawatan lain.8
Banyaknya yang perlu dilakukan untuk menguruskan AD. Berbaloi ke?
Mestilah berbaloi! Ini kerana AD yang dikawal dengan baik dapat membantu meningkatkann kualiti kehidupan, mengurangkan serangan dan mencegah komplikasi seperti jangkitan.
Sebaliknya, AD yang tidak terkawal, contohnya, jika tidak mematuhi pelan rawatan atau terus menggunakan produk yang mencetuskan keradangan, ia boleh membawa kepada serangan yang berulang dan setiap episod serangan mungkin menjadi lebih teruk serta mengambil masa yang lebih lama untuk reda.
Kesimpulannya, untuk individu yang mempunyai AD, berikut merupakan tiga perkara utama yang harus dilakukan:
- Jumpa doktor dan dapatkan diagnosis. Jika perlu, dapatkan bantuan pakar kulit
- Patuhi pelan rawatan berikan ia masa untuk berfungsi. AD adalah masalah sepanjang hayat yang perlu diuruskan sebaiknya. Jadi jangan campur adukkan ubat-ubatan yang dipreskripsikan dengan produk lain tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
- Dapatkan ilmu dan sokongan daripada sumber yang berkredibiliti seperti Persatuan Ekzema Malaysiadan Malaysian Eczema Support Community di media sosial. Ini penting untuk meringankan bebanan emosi dan psikologi menjalani kehidupan dengan AD, yang turut membantu menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan pesakit.
Rujukan
1 Chamlin, Sarah L. The psychosocial burden of childhood atopic dermatitis, Dermatologic Therapy, Vol. 19, 2006, 104–107.
2 Zuberbier et al. Patient perspectives on the management of atopic dermatitis, J Allergy Clin Immunol, Volume 118, Number 1, July 2006, 226-232.
3 Zuberbier et al. Patient perspectives on the management of atopic dermatitis, J Allergy Clin Immunol, Volume 118, Number 1, July 2006, 226-232.
4 Stingeni et al. Atopic Dermatitis and Patient Perspectives: Insights of Bullying at School and CareerDiscrimination at Work, Luca Journal of Asthma and Allergy 2021:14 919–928.
5 Stingeni et al. Atopic Dermatitis and Patient Perspectives: Insights of Bullying at School and CareerDiscrimination at Work, Luca Journal of Asthma and Allergy 2021:14 919–928.
6 Stingeni et al. Atopic Dermatitis and Patient Perspectives: Insights of Bullying at School and CareerDiscrimination at Work, Luca Journal of Asthma and Allergy 2021:14 919–928.
7 Clinical Practice Guidelines, Management of Atopic Eczema, 2018. MOH/P/PAK/393.18(GU). Available at: http://www.moh.gov.my.
8 National Eczema Association. Prescription Injectables: Biologics. https://nationaleczema.org/eczema/treatment/. Accessed 26 August 2022.