Sebelum mendirikan rumah tangga, jadual seseorang pelakon mungkin dipenuhi dengan penggambaran, sesi promosi, acara hiburan dan perjalanan ke luar kawasan. Namun selepas berkahwin, sebahagian daripada mereka mula memperlahankan langkah, menjadi lebih selektif atau berehat sepenuhnya daripada dunia lakonan.

Keadaan ini sering menimbulkan tanggapan seseorang pelakon tidak lagi menerima tawaran atau kerjayanya sudah semakin merosot. Ada juga yang cepat membuat kesimpulan keputusan tersebut dibuat kerana dilarang oleh pasangan.

Namun berdasarkan perkongsian beberapa pelakon tempatan, realitinya jauh lebih kompleks. Berehat selepas berkahwin biasanya melibatkan perubahan keutamaan, tanggungjawab terhadap anak, kesukaran menguruskan jadual serta keinginan untuk membina kehidupan yang lebih seimbang.

Artikel Berkaitan: Izara Aishah Lebih Selektif, Pilih Naskhah Tentang Keluarga & Kisah Benar – ‘Tak Nak Ambil Drama Asal Boleh’

Artikel Berkaitan: Puteri Sarah Tak Pernah Diminta Cipta Kontroversi Sepanjang Bergelar Anak Seni – ‘Alhamdulillah, Setakat Ini Tiada Masalah’

Ini antara sebab pelakon ‘berehat’ selepas berkahwin

1. Jadual Penggambaran Memerlukan Komitmen Yang Panjang

Penggambaran drama bersiri bukan pekerjaan yang selesai dalam tempoh beberapa jam. Pelakon boleh berada di lokasi dari awal pagi hingga lewat malam, selain perlu memberikan komitmen selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Ketika kembali berlakon pada 2020 selepas berehat selama enam tahun, pelakon, Puteri Sarah Liyana menjelaskan dia lebih cenderung menerima tawaran telefilem kerana tempoh penggambarannya lebih pendek. Menurutnya, telefilem mungkin mengambil masa sekitar seminggu, manakala drama bersiri memerlukan komitmen dua hingga tiga bulan.

2. Kehadiran Anak Mengubah Keutamaan

Perkahwinan mungkin tidak terus menyebabkan seseorang pelakon berehat. Namun keadaan biasanya berubah apabila mereka hamil atau menimang cahaya mata.

Pelakon, Mira Filzah pernah beberapa kali berheat daripada dunia seni sekitar Mei 2022 apabila dia mengambil cuti panjang untuk proses berpantang dan melahirkan cahaya mata sulung lelakinya bersama suami.

Mira kemudiannya kembali aktif secara berperingkat dalam industri seni pada awal 2023. Walaupun proses untuk bangkit semula selepas berehat panjang agak mencabar, Mira bersyukur kerana kerjayanya dipermudahkan dan kini lebih selesa mengatur jadual agar seimbang dengan tanggungjawab sebagai ibu

Bagi pelakon yang baru menjadi ibu, keputusan berehat bukan semestinya bermaksud mereka sudah kehilangan minat. Sebaliknya, fasa awal perkembangan anak dianggap sebagai tempoh yang sukar untuk digantikan.

3. Tidak Semua Selesa Menyerahkan Penjagaan Anak Kepada Orang Lain

Bagi meneruskan kerjaya, seseorang pelakon mungkin memerlukan bantuan pengasuh, pembantu rumah atau ahli keluarga. Namun bukan semua ibu bapa terus berasa yakin untuk menyerahkan penjagaan anak kecil kepada orang lain.

Pelakon, Izara Aishah pernah menjelaskan dia belum mempunyai keyakinan untuk menyerahkan urusan anaknya kepada pembantu rumah. Disebabkan itu, dia memilih untuk menunggu sehingga anaknya lebih besar dan mampu memahami tuntutan pekerjaannya.

Selepas berehat hampir enam tahun, Izara kembali berlakon menerusi drama Keluarga Itu. Namun kepulangannya tidak bermaksud dia akan menerima semua tawaran. Pada 2025, dia menjelaskan faktor jalan cerita dan kesesuaian tawaran menjadi antara pertimbangannya sebelum bersetuju dengan sesuatu projek.

4. Batas Dalam Pemilihan Watak Mula Berubah

Selepas berkahwin, sesetengah pelakon menjadi lebih berhati-hati dalam memilih watak, jalan cerita dan babak yang perlu dilakukan.

Pelakon Adam Lee pula pernah mendedahkan bahawa dia sudah mula menjaga batas pergaulan dan menolak watak romantik sejak melalui fasa pertunangan dengan Sweet Qismina.

Perubahan ini boleh mengecilkan pilihan watak yang sesuai. Namun ia bukan bermaksud pelakon tersebut sudah tidak serius terhadap kerjaya. Sebaliknya, mereka sedang menetapkan sempadan baharu yang selari dengan kehidupan peribadi.

Sumber: Gempak, Gempak, mstar, mstar, xtra