
Merokok sememangnya perbuatan yang membahayakan kesihatan diri sendiri, namun risikonya tidak terhad kepada perokok semata-mata.
Artikel Berkaitan: Nafas Berbau? Ini Kepentingan Berus Lidah Yang Ramai Terlepas Pandang
Artikel Berkaitan: Bahaya Pakai ‘Bra’ Semasa Tidur! Ketahui Risiko & Kesannya Kepada Payudara
3 jenis perokok
Perokok boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama berdasarkan tahap pendedahan terhadap asap rokok.
Kumpulan pertama ialah perokok aktif, iaitu individu yang menghisap rokok secara langsung sekurang-kurangnya sebatang setiap hari.
Setiap rokok yang dibakar menghasilkan dua jenis asap berbahaya, iaitu asap utama yang disedut dan dihembus oleh perokok serta asap sampingan yang keluar daripada hujung rokok yang terbakar.
Kumpulan kedua pula adalah perokok pasif, merupakan individu yang tidak merokok tetapi terpaksa menyedut udara yang tercemar dengan asap rokok di persekitaran mereka.
Asap yang dihidu ini merupakan gabungan asap yang dihembus keluar oleh perokok dan asap yang terhasil daripada pembakaran rokok itu sendiri.
Hal ini kerana bahan kimia beracun tetap memasuki tubuh melalui pernafasan, malah penapis rokok hanya memberikan perlindungan minimum kepada perokok, sedangkan orang di sekeliling langsung tidak mempunyai sebarang perlindungan daripada toksin tersebut.
Selain itu, terdapat juga kategori perokok ketiga, iaitu individu yang terdedah kepada sisa asap rokok yang melekat pada pakaian, kulit, perabot, langsir, dinding dan pelbagai permukaan lain.
Sisa ini dikenali sebagai third-hand smoke, ia mengandungi gas serta bahan kimia daripada asap utama yang mampu kekal dalam tempoh yang sangat lama.
Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bahan toksik ini boleh melekat selama bertahun-tahun sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna.
Menyebabkan kematian bayi yang sihat tanpa punca
Asap rokok mengandungi bahan kimia berbahaya seperti tar, nikotin, benzena dan formaldehid yang menyebabkan ketagihan serta dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser termasuk leukemia dan kanser buah pinggang.
Kajian menunjukkan nikotin boleh mencetuskan proses Epithelial–Mesenchymal Transition (EMT) dengan menurunkan fungsi agen perlindungan tumor seperti CHK2 serta mempercepat pembiakan sel tidak normal, sebagaimana dibuktikan dalam kanser payudara, kolon dan paru-paru.
Perokok pasif mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular, masalah jantung dan penyakit paru-paru kronik.
Kajian juga mendapati individu yang tinggal bersama perokok tegar lebih cenderung menghidap kanser paru-paru.
Golongan kanak-kanak pula merupakan golongan yang paling terdedah kerana sistem pernafasan mereka masih berkembang.
Pendedahan terhadap asap rokok meningkatkan risiko jangkitan saluran pernafasan, melemahkan fungsi paru-paru dan menyebabkan mereka lebih kerap jatuh sakit.
Selain itu, kanak-kanak dalam kalangan perokok pasif juga berisiko mengalami asma, jangkitan telinga yang berulang, gangguan pembelajaran serta kelewatan perkembangan fizikal dan mental.
Risiko menjadi lebih serius apabila melibatkan bayi. Salah satu kesan paling tragis ialah Sindrom Kematian Bayi Mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS), iaitu kematian bayi yang sihat tanpa punca yang jelas.
Pemeriksaan forensik mendapati paru-paru bayi yang terdedah kepada asap rokok mengandungi kadar nikotin dan kotinin yang tinggi, iaitu penanda biologi pendedahan asap rokok.
Bagi wanita hamil, pendedahan kepada asap rokok dapat meningkatkan risiko keguguran, kehamilan luar rahim dan tekanan darah tinggi ketika hamil.
Bayi dalam kandungan juga berisiko dilahirkan dengan berat badan yang rendah, mengalami sekatan pertumbuhan dan kecacatan kelahiran serta kelahiran pramatang.
Sumber: Doctor On Call