
Bulan kemerdekaan bukan sekadar tentang mengibarkan Jalur Gemilang atau mengenang sejarah perjuangan negara.
Dalam sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya, seni dan warisan juga menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia yang perlu terus diwariskan kepada generasi seterusnya.
Namun cabarannya hari ini berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Faizal Tahir Dah Macam Penjawat Awam, Setiap Tahun Lagu Tema Merdeka Dia Yang Nyanyi’
ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie Bangga ‘Cak Cak Cekuk’ Dipilih Untuk Persembahan Hari Merdeka – ‘Tengok Video Latihan Pun Saya Dah Meremang’
Ubah Cara Mempersembahkan Seni & Warisan
Generasi muda membesar dalam dunia TikTok, muzik global, trend fesyen antarabangsa dan kandungan digital yang berubah hampir setiap hari. Jadi, bagaimana mahu memastikan batik, songket, kebaya, seni Telepuk, tarian tradisional dan pelbagai warisan tempatan masih mempunyai tempat dalam kehidupan mereka?
Bagi pengasas FM Group, Farel Mikhail dan Pengerusi Program Precious of Malaysia Citraloka 2026, Jonathan Kok, jawapannya bukan dengan mengubah identiti sesuatu warisan.

Sebaliknya, cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah.
Ini lima pendekatan yang menurut mereka boleh membuatkan seni dan warisan Malaysia terus dekat dengan generasi baharu.
1. Jangan Biarkan Budaya Hanya Hidup Dalam Muzium
Budaya akan terasa jauh sekiranya generasi muda hanya melihatnya ketika lawatan ke muzium, pameran atau sambutan tertentu.
Farel percaya warisan perlu dibawa keluar daripada ruang tersebut dan dimasukkan ke dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Kita kena ubah cara kita membawa budaya. Kalau budaya hanya diletakkan dalam muzium atau dipersembahkan ketika sambutan tertentu, generasi muda mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.
“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah,” katanya.
Maksudnya, budaya tidak perlu kehilangan identiti asal hanya untuk kelihatan moden.
Apa yang perlu berubah ialah bagaimana ia diperkenalkan.
2. Biar Anak Muda Buat Sendiri, Bukan Sekadar Tengok
Salah satu cara terbaik untuk membuatkan seseorang menghargai sesuatu warisan ialah dengan membenarkan mereka sendiri merasai proses di sebaliknya.
Farel mengambil seni Telepuk sebagai contoh.
Daripada hanya mempamerkan hasil akhirnya, pelajar diperkenalkan kepada proses menghasilkan Telepuk sebelum karya mereka dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Dalam acara sebelum ini, kita bukan sekadar pamerkan Telepuk. Kita mulakan bengkel bersama pelajar, mereka belajar menghasilkan Telepuk, kemudian hasil itu dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi itu bukan sesuatu yang old-fashioned,” katanya.
Apabila mereka terlibat sendiri, warisan tidak lagi menjadi sesuatu yang hanya dibaca dalam buku.
Ia menjadi pengalaman.
3. Gabungkan Budaya Dengan Muzik & Fesyen
Tidak dapat dinafikan muzik dan fesyen mempunyai pengaruh besar terhadap generasi muda.

Sebab itu Jonathan percaya kerjasama antara artis, pereka fesyen dan penggiat budaya boleh menjadi salah satu cara paling efektif untuk membawa elemen tradisional kepada khalayak baharu.
“Kita percaya apabila artis, pereka fesyen dan penggiat budaya bergabung, mesej mengenai warisan Malaysia dapat disampaikan dengan cara yang lebih segar, dekat dan mudah diterima generasi muda.
“Kita berharap lebih ramai artis muda selepas ini berani membawa elemen budaya Malaysia dalam karya, muzik dan penampilan mereka,” katanya.
Malah, antara figura yang menjadi impian FM Group untuk dibawa ke pentas mereka ialah Wani Kayrie.
Mereka membayangkan penyanyi itu mempersembahkan lagu popular Cak Cak Cekuk dalam busana rekaan Farel dan Jonathan, sekali gus mempertemukan muzik pop, fesyen dan elemen budaya dalam satu pentas.
4. Bawa Warisan Ke Media Sosial
Jika mahu mendekati Gen Z, sudah tentu media sosial tidak boleh diketepikan.
Apa yang dipakai seseorang artis di atas pentas hari ini boleh muncul di TikTok, Instagram dan Threads hanya beberapa minit kemudian.
Daripada situ, sesuatu rekaan atau elemen budaya boleh diperkenalkan kepada khalayak yang jauh lebih luas.

Farel melihat pendekatan melalui kandungan digital, fesyen, pertandingan dan kolaborasi sebagai antara cara untuk menjadikan budaya sebahagian daripada perbualan generasi semasa.
“Kita mahu budaya dipakai, digunakan, dikongsi dan dibanggakan.
“Kalau cara kita membawanya dekat dengan dunia mereka, barulah generasi muda boleh melihat bahawa budaya itu juga sebahagian daripada identiti mereka,” katanya.
Budaya tidak lagi sekadar perlu dipelihara.
Ia perlu mempunyai ruang untuk dikongsi.
5. Jadikan Festival Budaya Sebagai Pengalaman, Bukan Sekadar Persembahan
Akhir sekali, cara sebuah festival budaya dianjurkan juga perlu berubah.
Daripada meminta pengunjung hanya duduk dan menonton, masyarakat perlu diberikan peluang untuk melihat, belajar, mencuba dan mengambil bahagian.
Pendekatan itulah yang mahu diketengahkan menerusi Precious of Malaysia Citraloka 2026 yang bakal berlangsung selama enam hari dari 11 hingga 16 September di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Antara pengisiannya termasuk International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik dan tarian serta pengisian seni Telepuk.
Kemuncaknya pada 16 September bersempena Hari Malaysia menerusi Precious Cultural Walk, yang menghimpunkan peserta dalam busana tradisi dan budaya untuk bersama-sama mengelilingi Taman Tasik Titiwangsa.
Program itu turut membuka ruang kepada pelajar, pereka muda, artisan, model, usahawan kreatif, sekolah, kolej vokasional, universiti serta masyarakat umum untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman tersebut.
Precious of Malaysia Citraloka 2026 juga menjadi antara pengisian Festival Budaya Malaysia 2026 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), manakala Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) dan FM Group turut menjalinkan kerjasama strategik dalam memartabatkan seni, muzik dan warisan budaya tempatan.
Selepas lima tahun membangunkan Precious of Malaysia, Farel dan Jonathan mahu melihat platform itu bergerak lebih jauh daripada sekadar sebuah acara kebudayaan.
Matlamatnya adalah untuk menjadikan warisan sesuatu yang masih mempunyai tempat dalam industri, fesyen, muzik dan kehidupan generasi seterusnya.
Kerana mungkin persoalan sebenarnya bukan sama ada anak muda hari ini masih berminat terhadap budaya Malaysia.
Mungkin kita cuma perlu mencari cara yang tepat untuk membuatkan mereka jatuh cinta kepadanya semula.






![[VIDEO] Khairul Aming Nasihat Farah Dina Rancang Kerjaya, Kewangan – ‘Tak Nak One-Hit Viral, Kita Nak Sustain Lama’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/IMG_6309.jpeg)
