Minyak aromaterapi semakin mendapat tempat dalam kehidupan seharian dan dijadikan sebagai salah satu kaedah semula jadi untuk menyokong kesihatan fizikal dan mental.

Artikel Berkaitan: Bekam: Terapi Semula Jadi Berasaskan Sunnah & Kesihatan

Artikel Berkaitan: Alami Penyakit Kulit Ayam Pada Tangan & Badan? Kenali Punca & Cara Atasi Keratosis Pilaris

Mempengaruhi otak

Selain itu, aromaterapi dipercayai dapat merangsang keseimbangan emosi, meningkatkan fokus, serta menyokong sistem imun tubuh secara keseluruhan, dan menjadikannya pilihan alternatif yang menarik untuk kesejahteraan harian.

Minyak aromaterapi (essential oil) boleh digunakan melalui pelbagai cara, sama ada melalui penyedutan aromanya untuk menenangkan minda, atau disapukan pada kulit sebagai sebahagian daripada urutan dan mandian aromaterapi.

Minyak aromaterapi berfungsi bagi merangsang reseptor bau di hidung, seterusnya ia akan menghantar isyarat melalui sistem saraf ke otak.

Proses ini dapat mempengaruhi bahagian otak tertentu, termasuk sistem limbik, yang bertanggungjawab mengawal emosi.

Selain itu, ia turut memberi kesan pada hipotalamus, yang membantu merangsang pengeluaran bahan kimia otak yang menyokong kesejahteraan mental, seperti serotonin.

Beberapa pakar juga percaya bahawa minyak pati yang disapu pada kulit, ia boleh memicu tindak balas yang memberi manfaat pada sendi dan tisu tubuh.

Memperbaiki kualiti tidur

Beberapa manfaat aromaterapi yang telah dikenal pasti termasuk membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan, dan kemurungan, sekaligus memberikan rasa tenang dan relaks.

Ia juga dipercayai dapat memperbaiki kualiti tidur serta meningkatkan kualiti hidup bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik, seperti demensia.

Selain itu, penggunaan minyak pati pada kulit boleh melawan bakteria, kulat, dan virus, serta membantu mengurangkan beberapa kesan sampingan rawatan kanser, termasuk mual dan kesakitan.

Aromaterapi juga bermanfaat dalam mengurangkan sakit kepala, migrain, ketidakselesaan fizikal, serta menyokong sistem penghadaman dan imunisasi tubuh.

Lebih luas lagi, aromaterapi mempunyai potensi dalam menyokong rawatan bagi pelbagai keadaan kesihatan, termasuk asma, insomnia, keletihan, kemurungan, kerengsaan, neuropati periferal, masalah haid, kanser, disfungsi erektil, arthritis, dan menopaus.

Dengan pendekatan yang tepat, aromaterapi boleh menjadi pelengkap yang berkesan bagi meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental secara holistik.

Sumber: Hello Doktor