Baru-baru ini, topik mengenai buku pink menjadi bualan hangat di media sosial susulan tularnya satu kejadian yang melibatkan seorang wanita hamil yang didakwa dianiaya sehingga terpaksa menunjukkan buku pink ketika berada di sebuah pasar raya.

Artikel Berkaitan: Peguam Perjelas ‘Buku Pink’ Ada Data Peribadi & Sulit – ‘Mana Boleh Minta Sesuka Hati’

Artikel Berkaitan: Suami Tampil Buat Laporan Polis, Isteri Dituduh Mencuri Oleh Penyelia Pasar Raya – ‘Maruah Wanita Mengandung Dipijak Dengan Tuduhan Yang Tiada Bukti’

Buku pink

Insiden itu menarik perhatian orang ramai dan mencetuskan perbincangan mengenai isu perlindungan data peribadi khususnya melibatkan maklumat kesihatan.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), buku pink ialah rekod kesihatan ibu mengandung yang mengandungi sejarah kesihatan, keputusan pemeriksaan, ujian darah serta maklumat berkaitan ibu dan kandungan.

Maklumat mengenai kesihatan atau keadaan fizikal seseorang dikategorikan sebagai data peribadi sensitif di bawah kerangka perlindungan data peribadi Malaysia.

Siapa yang boleh baca dan layak melihat buku pink ibu hamil?

Oleh sebab buku pink merekodkan pelbagai maklumat kesihatan dan butiran peribadi yang bersifat sulit, dokumen ini tidak boleh diakses sewenang-wenangnya oleh orang lain.

Akses hanya sewajarnya diberikan kepada pihak yang mempunyai keperluan rasmi atau mendapat kebenaran daripada pemiliknya, antaranya:

  • Pengamal perubatan bertauliah, termasuk doktor, jururawat dan bidan yang mengendalikan pemeriksaan serta rawatan ibu hamil.
  • Suami atau ahli keluarga terdekat, dengan persetujuan ibu hamil, bagi tujuan membantu urusan penjagaan dan rujukan kesihatan.
  • Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan pemantauan, rawatan atau pengurusan kes mengikut keperluan.

Dokumen ini perlu dipelihara dan sebarang akses atau pendedahan hendaklah dibuat mengikut keperluan serta dengan kebenaran yang sewajarnya.

Sementara itu, peguam, Aminahtul Marrdiah menjelaskan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) (Akta 709), maklumat kesihatan merupakan data peribadi sensitif yang dilindungi oleh undang-undang.

Oleh itu, maklumat tersebut tidak boleh diakses, digunakan atau didedahkan kepada mana-mana pihak ketiga termasuk premis komersial dan agensi swasta, tanpa persetujuan bertulis daripada pemilik data.

Sumber: Threads