Kira-kira 6.20 pagi tadi, satu kemalangan telah berlaku membabitkan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) dengan tren KTM Kargo di Stesen Tanjung Malim. Dilaporkan lima daripada 20 penumpang tren terbabit mengalami kecederaan. Seramai 15 lagi penumpang yang selamat telah dipindahkan ke tren KTM komuter lain dan meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral.
Alami kelewatan akibat kemalangan
Sumber foto: Bernama News Channel
Menerusi Berita Harian, dilaporkan lima cedera akibat kemalangan antara tren itu. Insiden itu juga mengakibatkan kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan KTM Komuter Tanjung Malim-Kepong.
Tren KTM Kargo dengan muatan 30 gerabak memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam pada jam 2.15 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Kargo Ipoh (ICT) jam 7.50 pagi.
Tren berkenaan kemudian berlanggar dengan tren KTM Komuter yang ingin memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang pada jam 6.05 pagi.
Tren ETS perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 5.05 pagi dan dijangka tiba pada jam 8.05 pagi mengalami kelewatan perjalanan selama 60 minit manakala perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar mengalami kelewatan 25 minit.
Perkhidmatan tren ETS bagi Sektor Utara selain daripada yang dinyatakan akan mengalami kelewatan perjalanan di antara 10 hingga 15 minit.
Kemalangan itu turut mengakibatkan perkhidmatan KTM Komuter alami kelewatan selama 15 minit, iaitu membabitkan perjalanan dari Tanjung Malim ke Kepong. Manakala 25 minit lewat bagi perjalanan ke Kepong ke Tanjung Malim.
Dengar bunyi detuman kuat
Sumber foto: Bernama News Channel
Dalam pada itu, perkhidmatan tren KTM Komuter selain daripada laluan Tanjung Malim-Kepong akan beroperasi seperti biasa dan semua kelewatan berlaku adalah disebabkan hanya satu landasan sahaja dapat digunakan.
KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Kerja-kerja baik pulih dan siasatan lanjut berkaitan insiden ini sedang dijalankan.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa, untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari Twitter @ktm_berhad.
Salah seorang penduduk dari Taman Muhibbah Jalan Ketoyong, Johari Kamaruddin, 52, berkata dia dan jemaah lain di Masjid Jamek Tanjung Malim terkejut apabila dengar detuman kuat sejurus selepas solat Subuh.
Bunyi itu memang kuat dan mengejutkan jemaah semua tetapi pada ketika itu kami semua tidak tahu apa puncanya dan saya terus pulang ke rumah.
Saya hanya mengetahui kejadian sebenar apabila tiba di pejabat jam 8 pagi tadi dan datang ke sini untuk melihat kejadian ini.
Sumber: Berita Harian