
Program Dakwah Piala Dunia yang berlangsung di Masjid al-Imam al-Ghazali, Bandar Menjalara, Kepong baru-baru ini berjaya menarik kehadiran ratusan anak muda dan penduduk setempat menerusi pendekatan dakwah yang lebih santai, segar dan dekat dengan jiwa generasi masa kini.
Artikel Berkaitan: ‘Jangan Mereka-Reka Firman Allah SWT’ – Dr Zulkifli
Artikel Berkaitan: Dr Zulkifli Kongsi Ciri-Ciri Pemimpin Yang Perlu Dipilih – ‘Janganlah Kerana Populariti’
Masjid tempat komuniti kumpul

Bersempena perlawanan akhir Piala Dunia, program tersebut membuktikan bahawa institusi masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadah, malah mampu berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti melalui pengisian yang seimbang antara aktiviti santai dan kerohanian.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan e-sukan (e-sport), tayangan akhir Piala Dunia menerusi skrin besar serta persembahan freestyle football di kawasan luar masjid.
Semua aktiviti ini dijadikan sebagai medium untuk menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia, sebelum mereka bersama-sama mengikuti pengisian agama yang telah disusun.
Peringatan tanggungjawab jangan dilupakan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pendekatan dakwah yang meraikan minat serta kecenderungan anak muda perlu terus diperkasakan supaya masjid kekal menjadi institusi yang hidup, inklusif dan relevan.
Menurut beliau, program seperti ini membuktikan bahawa hiburan dan minat terhadap sukan boleh dijadikan jambatan untuk mendekatkan masyarakat kepada masjid tanpa mengabaikan tuntutan agama.
Kita mahu menyampaikan mesej bahawa menikmati perlawanan bola sepak tidak salah, tetapi dalam keterujaan itu, tanggungjawab kepada Allah SWT jangan sesekali dilupakan.
Masjid sentiasa terbuka untuk semua dan dakwah perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang berhikmah, mesra serta sesuai dengan keperluan semasa.
Apa yang paling mencuri perhatian ialah kemuncak program apabila para peserta bersama-sama menghidupkan malam dengan Qiyamulail sebelum menunaikan Solat Subuh secara berjemaah sebaik sahaja perlawanan berakhir.
Momen itu memperlihatkan bagaimana semangat kesukanan dapat digabungkan dengan penghayatan ibadah, sekali gus membuktikan masjid mampu menjadi ruang yang menyatukan aktiviti santai yang dibenarkan syarak dengan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dalam masa sama, Dr. Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), para penaja serta semua pihak yang telah menjayakan program berkenaan melalui sumbangan hadiah dan jamuan kepada para peserta.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan budaya memakmurkan masjid, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Inilah bukti bahawa dakwah itu luas, sentiasa segar dan mampu menyentuh hati masyarakat apabila dilaksanakan dengan pendekatan yang sesuai.
Marilah kita terus berlumba-lumba melakukan kebaikan sebagaimana firman Allah SWT, Fastabiqul Khairat.







