Pada Ahad lalu, penyanyi Noh Salleh selamba ‘catwalk’ di khalayak umum dengan rokok ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022).
Artikel Berkaitan: Selamba ‘Catwalk’ Di KLFW2022 Dengan Rokok, Noh Salleh Selesa Jadi Diri Sendiri
Contoh tidak baik!
Perbuatan Noh itu telah mengundang Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham untuk memberi teguran.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan selebriti yang menunjukkan tingkah laku tidak senonoh kepada umum seperti merokok.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai dan di pentas persembahan.
Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja.
Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang di sekeliling mereka.
Jaga tingkah laku
Tegas Dr Noor Hisham, golongan selebriti seharusnya menjaga tingkah laku kerana tindak-tanduk mereka sering dipandang serta menjadi ikutan dalam kalangan peminat.
Sebagai seorang selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan. Oleh itu, sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat.
KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menyatakan ini juga selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya kawalan terhadap produk merokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok di kalangan masyarakat Malaysia.
Sumber: Facebook @Noor Hisham Abdullah