
Penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Cha Eun Woo, tampil memohon maaf berhubung dakwaan dirinya mengelak membayar cukai berjumlah 20 bilion won (sekitar RM55 juta).
Artikel Berkaitan: Tubuh Syarikat Sendiri Atas Nama Ibu & Tipu Jumlah Pendapatan, Cha Eun Woo Elak Bayar Cukai RM55 Juta?
Cha Eun Woo

Eun Woo yang kini sedang menjalani khidmat ketenteraan berjanji akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu tersebut.
Saya secara ikhlas memohon maaf kerana telah mencetuskan kebimbangan serta kekecewaan kepada ramai pihak disebabkan pelbagai isu yang melibatkan diri saya kebelakangan ini.
Bagaimanapun, ahli kumpulan Astro ini berkata dia akan bertanggungjawab dan bersedia menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku kelak.
Dalam pada itu, Eun Woo turut menjawab spekulasi yang menuduh kemasukannya ke dalam latihan ketenteraan pada Julai tahun lalu adalah satu taktik untuk mengelak daripada siasatan pihak berkuasa.
Pada masa ini, saya sedang berkhidmat dalam perkhidmatan tentera, namun ini bukanlah satu pilihan yang disengajakan untuk mengelak daripada kontroversi ini.
Tahun lalu, saya tidak lagi menangguhkan pendaftaran tentera, dan oleh itu saya mendaftar masuk tanpa sempat menyelesaikan prosedur siasatan cukai tersebut.
Jika saya bukan seorang anggota tentera pada ketika ini, saya mahu melawat sendiri dan memohon maaf secara bersemuka kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden ini.
Cuba jadi insan lebih bertanggungjawab

Pelakon drama True Beauty ini juga berazam untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab demi membalas semula sokongan peminat yang telah bersamanya selama 11 tahun dia bergelar anak seni.
Saya memohon maaf yang tidak terhingga kerana tidak dapat membalas jasa, malah telah menyebabkan kesedihan buat semua yang mempercayai dan menyokong saya termasuk rakan sekerja.
Media Korea Selatan sebelum ini melaporkan Cha Eun Woo didakwa terlibat dalam isu cukai melibatkan tunggakan berjumlah 20 bilion won (sekitar RM55 juta).
Pelakon itu dikatakan menubuhkan sebuah syarikat atas nama ibunya yang digunakan sebagai perantara pembahagian pendapatan bersama agensinya, Fantagio.
Siasatan mendapati syarikat berkenaan hanyalah syarikat kosong tanpa operasi sebenar dan dipercayai digunakan bagi mengurangkan kadar cukai.
Susulan pendedahan itu, Fantagio turut dikenakan denda 8.2 bilion won (kira-kira RM22.6 juta) kerana memproses invois palsu.
Sumber: Instagram Cha Eun-woo






![[VIDEO] Khairul Aming Nasihat Farah Dina Rancang Kerjaya, Kewangan – ‘Tak Nak One-Hit Viral, Kita Nak Sustain Lama’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/IMG_6309.jpeg)
