
Pempengaruh Norsufia Johari memohon mahkamah mengenakan jaminan kos sebanyak RM75,000 terhadap Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz selepas menerima saman fitnah daripada pasangan suami isteri itu.
Artikel Berkaitan: Cik Pia & MSH Empire Resources Tuntut Permohonan Maaf Terbuka, Ganti Rugi RM1 Juta Daripada Nilam Ortiz & Azlan Komeng
Artikel Berkaitan: Rumah Tangga Azlan Komeng & Nilam Kembali Erat – ‘Orang Ketiga Itu Berniat Jahat’
Saman fitnah

Permohonan itu dibuat kerana Nur Nilam, selaku plaintif pertama, merupakan warganegara Thailand dan berisiko meninggalkan negara pada bila-bila masa. Manakala Azlan, selaku plaintif kedua, telah diisytiharkan bankrap.
Menurut peguam Norsufia, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, permohonan jaminan kos berkenaan telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kes berkenaan melibatkan dua pihak plaintif, iaitu Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan) terhadap seorang defendan, Norsufia Johari.
Prosiding ini melibatkan dakwaan berhubung beberapa isu termasuk kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial serta isu-isu berkaitan reputasi perniagaan.
Justeru permohonan untuk jaminan kos oleh defendan telah difailkan pada Disember 2025 agar plaintif diarahkan membayar jaminan kos sebanyak RM75,000 dalam tempoh ditetapkan.
Alasan-alasan permohonan adalah plaintif pertama adalah warganegara Thailand dan boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa sahaja, manakal plaintif kedua adalah seorang yang bankrup.
Adnan Seman turut memohon agar writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan plaintif kedua dibatalkan melalui afidavit sokongan yang dikemukakan.
Defendan menjelaskan bahawa plaintif kedua memfailkan tindakan mahkamah ini ketika dia masih berstatus bankrap (undischarged bankrupt) dan defendan percaya plaintif Kedua tidak mendapat kebenaran bertulis Ketua Pengarah Insolvensi (Sanksi) sebelum memfailkan tindakan ini.
Dalam pada itu, Adnan Seman memaklumkan bahawa prosiding saman fitnah yang difailkan Nur Nilam dan Azlan dijadualkan mula dibicarakan pada 13 dan 14 Jun tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada Ogos lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan terbabit diambil selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.
Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil.
Azlan dan Nur Nilam turut memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 November lalu terhadap Cik Pia berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.








