Usahawan Cik Pia yang merupakan wakil MSH Empire Resources nekad untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada pasangan selebriti, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta.

Artikel Berkaitan: Rumah Tangga Azlan Komeng & Nilam Kembali Erat – ‘Orang Ketiga Itu Berniat Jahat’

Artikel Berkaitan: Azlan Komeng & Nilam Ortiz Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang – ‘Merosakkan Reputasi & Menjejaskan Nama Baik Kami’

Tuntut ganti rugi RM1 Juta

Menurut Cik Pia, dia dan syarikat terkesan dengan dakwaan yang telah mencemar nama baik, memberi kesan langsung terhadap jualan produk dan reputasi perniagaan.

Saya bukan nak balas secara emosional. Tapi syarikat telah difitnah secara terbuka, dituduh menjual produk berbahaya dan reputasi syarikat dan sebagai usahawan diganggu dengan niat yang jelas untuk menjatuhkannya.

Surat tuntutan tersebut telah dihantar melalui pos, aplikasi WhatsApp, serta serahan tangan. 

Menerusi surat itu, MSH Empire Resources melalui peguam yang dilantik, Datuk Adnan Seman @ Abdullah, menuntut permohonan maaf secara terbuka serta ganti rugi sebanyak RM1 juta bagi menampung kerosakan reputasi dan kesan kewangan terhadap perniagaan, yang perlu dipenuhi selewat-lewatnya Jumaat ini.

Selain itu, kata pemilik nama Nor Sufia Johari, dia dan syarikat tidak ada pilihan lain untuk menjernihkan keadaan selain menuntut keadilan melalui mahkamah.

Kami dah beri peluang sebulan. Tetapi serangan mereka tetap berterusan, termasuk di media sosial dan sidang media baru-baru ini.

Apabila kenyataan yang dibuat itu bersifat fitnah dan menjejaskan keyakinan pengguna, saya tiada pilihan lain selain dibawa ke mahkamah.

Cik Pia berkata demikian dalam satu sidang media khas bersama wakil firma guaman Adnan Sharida & Associates yang diadakan di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada Selasa.

‘Mereka cuba burukkan produk lama’

Dakwa Cik Pia, isu bermula selepas penjenamaan semula produk Minyak Herba Nilam HQ kepada Minyak Herba S-Herb, yang dahulunya dipasarkan bersama Nilam & Azlan melalui syarikat MSH Empire.

Namun, sejak kerjasama ditamatkan pada Mac 2025, pasangan itu didakwa menabur pelbagai kenyataan berbaur fitnah termasuk mendakwa produk tersebut berbahaya dan mengelirukan pengguna.

Mereka jual sekali dengan saya dulu. Bila dah keluar dan mahu lancarkan produk sendiri, mereka cuba burukkan produk lama seolah-olah tak selamat. 

Untuk rekod, kami pernah menjual lebih 700,000 botol minyak tanpa tanpa satu pun aduan kesihatan.

Tegas Cik Pia, dia sama sekali tidak menyimpan rasa dendam sebaliknya bertujuan memberi teguran yang boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai.

Saya dah berniaga dengan jujur. Tapi bila pihak sebelah terus membuat kenyataan terbuka yang menjatuhkan, saya kena berdiri mempertahankan hak dan maruah saya dan syarikat. 

Bukan untuk membalas dendam, tapi untuk beri pengajaran dan jadi sempadan kepada orang lain.

Sementara itu, Datuk Adnan, menyatakan anak guamnya terpaksa menanggung kerugian jualan harian malah juga kehilangan kepercayaan pengguna dan rakan niaga.

Mereka bukan sekadar bersaing secara tidak sihat. Mereka buat perbandingan terbuka, menggambarkan sistem anak guam kami tak profesional, produk kononnya ‘bahaya’ dan buat live TikTok berulang kali menjatuhkan reputasi anak guam saya.

Tentang dakwaan gambar dan video mereka digunakan oleh affiliate syarikat, kami tiada kuasa mengawal kandungan yang telah dimuatnaik di media sosial untuk mempromosikan produk minyak terbabit.

Bagaimanapun, mereka berhak untuk membuka dan meneruskan syarikat baharu dengan apa saja produk yang ingin dikeluarkan.

Selain itu, kenyataan pihak terbabit yang mendakwa mengalami kerugian sehingga tujuh angka juga tidak jelas. Bagaimana mereka mengalami kerugian sedangkan semua kos pembuatan dan pengeluaran produk ditanggung oleh syarikat anak guam saya?

Mereka hanya mendapat komisen daripada hasil jualan (secara langsung di TikTok), dan itu asasnya. Tidak ada unsur penganiayaan.

Terdahulu, Azlan dan Nilam Ortiz membuat kenyataan rasmi mengenai penarikan diri dari produk lama di syarikat Nilam HQ pada 10 Julai lalu.

Bersama Azlan, mereka menegaskan tiada lagi kaitan dengan produk lama sama ada sebagai pengasas bersama atau duta dan kini beroperasi di bawah syarikat baharu, Nilam Empire. 

Pasangan ini turut melantik firma guaman Tetuan Kyara & Co untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan niaga yang didakwa terus menggunakan nama ‘Nilam HQ’ tanpa kebenaran, selain menyebarkan kenyataan berunsur fitnah dan mengganggu ahli keluarga.