Lukisan mirip Jata Negara yang tersebar di media sosial mendapat kecaman netizen. Sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.
Terbaru, pihak polis akan memanggil individu terlibat untuk siasatan lanjut dan didakwa menghina Jata Negara.
Menjatuhkan imej negara
Memetik sumber Metro, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid melaporkan kes sudah diterima dan masih dalam siasatan melibatkan beberapa individu.
Mereka yang terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil membantu siasatan.
Kementerian Dalam Negeri juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.
Tindakan akan diambil
Tindakan tegas oleh pihak berkuasa akan diambil sekiranya wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara. Perbuatan tersebut menggambarkan penulis buku itu merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.
Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.
Sumber: Metro