berita

D’ Masiv Pilih Malaysia Jadi Lokasi Pertama Konsert 20AD To The World

March 17th, 2023 | by Wani
Kini Trending

Sempena Ulang Tahun yang Ke-20 perjuangan legasi muzik, Neptunes Presents membawa konsert berprestij ke Malaysia iaitu D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: Nabila Huda Bawa D’Masiv Ke Kuala Lumpur, Adakan Konsert Pada 2 Jun Ini

Ulang tahun ke-20

Menerusi temubual secara virtual, anggota kumpulan Indonesia, D’Masiv iaitu Rian Ekky Pradipta selaku vokalis memaklumkan sedang sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert berkenaan.

Tambahnya, peminat di Malaysia amat mengalu-alukan kedatangan kumpulan tersebut untuk membuat konsert.

Beberapa bulan lalu, saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai peminat yang inginkan kami hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert. Jadi, itu membuatkan kami sangat teruja untuk mengadakan persembahan di sini.

Sebelum ini, kami ada hadir ke Malaysia tetapi itu hanya untuk mempromosikan album dan sebagainya. Kalau dari segi persembahan pun, kami tampil dengan pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.

Rian menyatakan bahawa konsert ulang tahun ke-20 ini merupakan taruhan pertama buat kumpulan itu di Malaysia. Tambahnya, dapat berjumpa bersama peminat yang menyokong mereka selama ini membuatkan mereka berasa teruja.

Apabila ditanya mengenai tema, vokalis D’Masiv itu menyatakan untuk mengangkat tema jelajah dunia sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.

Menurut Rian, Malaysia merupakan negara pertama untuk siri jelajah ini dan disusuli negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.

Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tetapi, masih ada lagu yang versi asal atas memenuhi permintaan peminat.

Kami yakin peminat di Malaysia akan bersama menyanyikannya.

Masih diterima baik

Susulan daripada itu, D’Masiv masih diterima baik oleh para peminat dari pelbagai negara walaupun sudah dua dekad penglibatan mereka di dalam industri hiburan.

Kata Rian, ketika membuat persembahan di festival muzik di Indonesia, kebanyakan daripada peminatnya adalah dalam lingkungan usia remaja.

Kami terkejut walaupun usia antara 15 dan 17 tahun, mereka masih tahu lagu D’Masiv. Mungkin kerana lagu kami dan jalan cerita yang terkesan di hati mereka.

Mungkin ada yang mula patah hati dan dari situlah mungkin karya kami mula terkait dengan kisah mereka.

Tambahnya, media sosial merupakan platform untuknya berinteraksi bersama para peminat dan cara itu dapat mengeratkan lagi hubungan bersama mereka.

D’Masiv 20AD To The World

Mengulas kolaborasi dengan artis di Malaysia, D’Masiv memaklumkan sebelum ini bahawa mereka pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga lagu runut bunyi filem Boboiboy. Antara artis tempatan yang terlibat adalah Datuk Amy Search, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Jika dia Indonesia, kumpulan popular sekarang adalah Kugiran Masdo. Memang nama mereka tular sekarang.

Menurutnya, mereka pernah bekerjasama dengan kumpulan Bunkface untuk lagu runut bunyi filem BoBoiboy dan berharap mereka dapat peluang untuk bekerjasama lagi.

Nabila Huda selaku penganjur konsert berprestij ini menyatakan bahawa D’Masiv merupakan kumpulan yang diminatinya sejak kecil, namun belum pernah berpeluang untuk menyaksikan konsert mereka di Kuala Lumpur.

2023 adalah tahun D’Masiv ke-20, jadi Neptunes Presents membawa kumpulan D’Masiv bagi meraikan perjalanan muzik dan mendekati para peminat.

Saya dan keluarga bercuti ke Jakarta, Indonesia, awal tahun ini. Secara kebetulan, kami diundang oleh teman rapat untuk bertemu Vokalis, Rian.

Tambah Nabila, niat asal adalah hanya untuk berkenalan dan pelawaan itu tidak dirancang untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur, Malaysia.

Walau bagaimanapun, konsert pertama Senandung Malam yang melibatkan Payuh Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca, tahun lalu.

Difahamkan, dari situlah munculnya idea untuk berkolaborasi bersama kumpulan D’Masiv dalam menganjurkan senandung malam volume 2 di Kuala Lumpur.

Malam berprestij itu bakal dilangsungkan selama 120 minit pada 2 Jun 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Oleh kerana ini merupakan konsert pertama buat D’Masiv di Kuala Lumpur, mereka bakal membawa lagu daripada album pertama sehingga album terbaru yang bakal disampaikan.

D’Masiv sudah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan (2008), Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D’Masiv (2016), Love (2019), dan Time (2022).

Difahamkan, kumpulan Indonesia D’Masiv bakal menghiburkan peminat menerusi antara 23 hingga 25 rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerrah dan Cinta Ini Membunuhku.

Para peminat boleh mula membeli tiket pada hari ini (Jumaat), jam 11:00 pagi di laman web www.startix.live. Harga tiket bermula antara RM198 sehingga RM458.

SKIP THIS AD ×