Mayat tiga beradik yang hilang di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, akhirnya berjaya ditemui selepas beberapa jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Ketiga-tiga mangsa iaitu Khalif Naim, Khairil Firdaus dan Umar Iskandar ke sungai kira-kira 200 meter dari rumah pada jam 6.30 petang semalam.
Tak daya hantar jenazah anak
Memetik laporan Harian Metro, jenazah ketiga-tiga beradik itu tiba di perkarangan rumah keluarga lebih kurang jam 4 petang dan disembahyangkan. Selepas itu, mereka dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran pusara ibu di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung di Marang.
Sejak bekerja membawa kenderaan jenazah, saya sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan tetapi kali ini saya tidak ada daya untuk berbuat demikian… semangat saya menjadi lemah.
Saya reda kerana orang kata mati lemas jadi syahid dan hadiah untuk mak ayah. Sebalik yang buruk ada baiknya
Bapa, Mohd Ismail, berasa sangat sebak melihat tiga keranda anak di ruang tamu dan tidak mampu untuk membawa sendiri jenazah ke perkuburan.
Pesan belajar bersungguh-sungguh kerana kita orang susah
Tambahnya lagi, allahyarham Umar bercita-cita mahu menjadi pakar matematik dan kini sedang menuntut di Universiti Malaya (UM). Manakala, allahyarham Khalif Naim seorang pelajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang mahu menjadi kadi.
Saya nampak kesungguhan mereka belajar dan saya selalu mengingatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kita orang susah.
Ketiga-tiga anaknya itu merupakan harapan keluarga dan mereka sangat baik serta bertanggungjawab. Mohd Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan kewangan, semangat dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus sepanjang operasi.
Sumber : Harian Metro