Semalam, satu tragedi menghibakan apabila tiga beradik lelaki dilaporkan lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong, Hulu Terengganu. Lebih menyedihkan, apabila sehingga kini ketiga-tiganya masih belum ditemui dan menurut bapa mereka, anaknya dilihat sengaja berpakaian sedondon pada Aidilfitri dan bergambar berpelukan bersamanya.
Pencarian masih dijalankan
Menurut bapa mangsa, pada mulanya dia tidak menganggap permintaan itu suatu yang pelik kerana hubungan akrabnya dengan ketiga-tiga anaknya adalah biasa.
Memang janggal sikit apabila mereka ajak bergambar sebab kebiasaan raya, kami akan bersama keluarga tetapi saya tidaklah anggap pelik. Mereka juga minta saya peluk.
Cuma saya tidak sangka kini saya kehilangan ketiga-tiganya.
Dalam kejadian 6.30 petang semalam, tiga beradik itu hilang selepas dipercayai mandi di sungai terbabit yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka. Mohd Ismail yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia kematian isteri lebih 10 tahun lalu dan sukar melalui kehilangan tiga anak serentak.
Saya sangkakan orang curi kelapa
Ketika kejadian itu dia tidak berada di rumah kerana ke masjid berhampiran untuk membersihkan kawasan sekitarnya.
Saya ke masjid kira-kira 5.30 petang dan ketika itu tiga anak membersihkan rumah sebelum didatangi sepupu mereka yang bawa lemang. Kira-kira 7 malam, anak saudara menemui saya di masjid dan meminta segera pulang. Dia tidak cerita apa-apa dan saya menyangka ada orang curi kelapa saya lagi kerana ia kerap berlaku.
Malangnya, saya dibawa ke tebing sungai dan ditunjukkan pakaian, selipar serta telefon bimbit anak. Dalam hati sudah mengagak anak mungkin lemas.
Dalam pada itu, dia reda dengan kejadian itu namun berharap tiga anaknya segera ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.
Terdahulu kejadian itu disedari empat pemancing yang sedang memancing di tebing Sungai Kampung Mesah selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong. Sejurus tiba dilokasi, ketiga-tiga mangsa telah hilang.
Dah jumpa salah seorang
Sumber : Harian Metro