
Penyanyi, Mimifly meluahkan rasa bangga apabila segala penat lelah yang dicurahkan pada persembahannya Festival Muzik ASEAN-Korea (ROUND) 2026 di Manila Filipina pada 18 April lalu mendapat sambutan luar biasa hingga menerima standing ovation daripada penonton.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Bangga Dapat Wakil Malaysia Untuk ASEAN-Korea Music Festival, Peluang Tunjuk Bakat Di Pentas Serantau’ – Mimi Fly
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mimi Fly ‘Reject’ Lelaki Malas – ‘Itu Red Flag Terbesar & Annoying’
Kejayaan bermakna

Ketika ditemui OhBulan!, Mimi atau nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham, 38, berkata kejayaan itu lebih bermakna kerana segala perbelanjaan bagi menjayakan persembahan tersebut ditanggung sendiri.
Saya dan 27 penari iaitu 10 orang dari Malaysia, sama-sama menangis di belakang pentas. Saya dapat ‘standing ovation’.
Di tempat duduk tetamu kehormat (VIP) di mana ada ramai ‘orang kuat’ festival itu, semuanya bangun dan tepuk tangan.
Saya dengar seluruh stadium jerit nama saya.
Saya guna duit sendiri untuk bayar penari, pemuzik, tiket penerbangan, baju penari dan kelengkapan lain.
Saya percaya ini semua aturan Tuhan. Kalau saya tidak keluarkan duit sendiri, saya tidak tahu berapa kos dan tidak tahu rasa puas.
Mimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran single kedua Ceddy Ang yang bertajuk Asal Ada Kamu bertempat di ibu kota pada petang Selasa.
Dalam pada itu, Mimi turut mengakui kesungguhan para penari menyentuh emosinya, apatah lagi melihat semangat mereka yang tinggi untuk memastikan persembahan tersebut berlangsung dengan sempurna.
Itu yang membuat saya menangis. Selalunya saya bawa enam penari.
Di Manila, penuh satu pentas dengan penari termasuk pemain dram dan keyboard.
Apabila dapat sambutan baik daripada penonton, saya tahu saya buat keputusan tepat.
Bercerita lanjut, Mimi turut berusaha mempelajari bahasa Tagalog bagi merapatkan hubungan dan lebih mendekati para peminatnya di Filipina.
Di pentas ROUND 2026, Mimi membuat persembahan selama 25 minit dengan membawakan beberapa lagu popularnya iaitu Angkat, Serumpun, Nara, Euphoria dan Superfly.
Festival ROUND 2026 menghimpunkan penggiat seni muzik dari 10 negara ASEAN bersama Korea Selatan, yang mempersembahkan karya masing-masing kepada penonton global.
Sebelum ini, Dolla dan Marsha Milan pernah mewakili Malaysia dalam program berkenaan, yang dianjurkan oleh KBS World bersama ASEAN.








