
Apabila berbicara tentang industri perfileman Malaysia, ramai yang mungkin terlepas pandang mengenai bakat selebriti tanah air yang sudah lama menembusi pasaran Hollywood.
Bukan sekadar menjadi pelakon tambahan, malah ada juga yang berjaya menggenggam trofi anugerah berprestij di dunia, Anugerah Akademi (Oscars).
Artikel Berkaitan: Bakal Pulang Ke Malaysia, Michelle Yeoh Bertemu Peminat Pada 18 April
Artikel Berkaitan: Erra Fazira & Suami Sepakat Tak Kongsi Masalah Rumah Tangga Di Media Sosial – ‘Kongsi Yang Seronok Saja’
Perintis dan Legenda: Pembuka Jalan Generasi Awal
Selain Tan Sri Michelle Yeoh yang memahat nama di persada antarabangsa, beberapa bakat tempatan lain turut berpeluang muncul di pentas idaman semua pelakon di dunia.
Ibrahim Pendek (The Spiral Road, 1962)
Sejarah mencatatkan Allahyarham Ibrahim Pendek sebagai pelakon Malaysia pertama yang berlakon dalam filem Hollywood. Bakat komedinya yang dikesan oleh Universal International ketika membintangi filem Ali Baba Bujang Lapok telah membawanya ke Hollywood untuk bergandingan dengan aktor legenda, Rock Hudson.
Noor Kumalasari (Paper Tiger, 1975)
Sebelum bergelar primadona dan ikon fesyen tanah air, beliau terlebih dahulu membuat penampilan dalam filem Hollywood arahan Ken Annakin. Memegang watak sebagai Topsy, beliau berkongsi skrin dengan aktor legenda dunia, David Niven, dalam filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Langkawi.
Kuswadinata (Beyond Rangoon, 1995)
Pelakon veteran berkarisma ini diberi peluang keemasan membintangi filem drama politik arahan John Boorman mengenai pergolakan di Myanmar. Allahyarham Kuswadinata memegang watak sebagai ‘Colonel at Checkpoint’, berlakon di samping aktres Hollywood, Patricia Arquette.
Selain beliau, filem tersebut turut dibintangi oleh Mr Os, M. Rajoli, Hani Mohsin, Jit Murad, Puan Sri Tiara Jacquelina dan Ismail Din.
Kepelbagaian Bakat: Dari Filem Seram ke Aksi Fisyen Sains
Bakat pelakon Malaysia tidak terhad kepada satu genre sahaja. Mereka turut mewarnai pelbagai bentuk produksi dari filem seram hinggalah adaptasi anime antarabangsa.
Erra Fazira (Hidden, 2011)
Primadona filem alaf baharu ini turut mencuba nasib dalam produksi kolaborasi antarabangsa bergenre seram/psikologi. Erra memegang watak utama filem tersebut sebagai Dian, bergandingan dengan pelakon Hollywood, Christopher Atkins (bintang filem klasik The Blue Lagoon).
Pete Teo
Terkenal sebagai komposer yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 24 menerusi lagu Pergi nyanyian Aizat Amdan, Pete juga berbakat dalam bidang lakonan. Figura versatil kelahiran Tawau, Sabah ini kerap terlibat dalam produksi antarabangsa berprestij.
Antara penampilan terbesarnya adalah dalam filem adaptasi anime fiksyen sains Holywood, Ghost in the Shell (2017) sebagai Tony, bertentangan dengan Scarlet Johansson. Beliau juga pernah membintangi filem hebat Asia seperti Stranger Eyes (2024), serta pembabitannya dalam naskah tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Call If You Need Me.
Angelica Lee (Lee Sinje)
Pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah ini amat terkenal dalam industri perfilem berbahasa Cina. Lakonan hebatnya dalam filem seram ikonik The Eye telah membolehkannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Golden Horse Awards. Beliau juga membintangi filem adaptasi novel tempatan, The Garden of Evening Mists.