Seorang bayi yang dipercayai baru sahaja dilahirkan telah ditemui oleh seorang petani di celah semak samun berhampiran pokok pisang. Kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan perumahan Sibu Jaya, Sarawak.
Jumpa di celah semak-samun
Menerusi laporan Utusan Borneo kejadian itu disedari oleh seorang penduduk kampung, Kemarau Langkau yang juga merupakan seorang petani selepas dia mendegar satu tangisan bayi ketika dia ingin membuang sampah di kawasan luar rumahnya. Curiga dengan suara tangisan itu, dia kemudian memeriksa keadaan sekeliling untuk mencari punca dari mana datangnya bunyi itu.
Selepas itu, dia amat terkejut apabila ternampak seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan sihat berada di celah semak-samun di kawasan terbabit. Apa yang lebih menyayat hati apabila bayi itu masih bertali pusat dan ditinggalkan tanpa seurat benang pada tubuhnya. Kemarau yang berusia 45 tahun kemudian telah membawa bayi itu ke rumahnya untuk dimandikan dan dibersihkan tubuhnya sebelum membuat laporan polis.
Siasatan masih dijalankan
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata Kemarau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sibu Jaya dan menyerahkan bayi tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Bayi itu kemudian telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Pasukan perubatan Hospital Sibu dipanggil ke lokasi sebelum membawa bayi itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan untuk mengesan pihak yang meninggalkan bayi terbabit di lokasi itu.
Menurut Stanley, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan pihak yang terlibat berhubung dengan kes ini. Tambahnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sumber: Utusan Borneo, Astro Awani