berita

‘Dia Nampak Biasa, Tak Nampak Sedih’ – Saksi Kes Bunuh CEO Cradle Fund

October 5th, 2019 | by faris
Isu & Kontroversi

Kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan pada mulanya dikatakan berpunca dari letupan telefon bimbit yang dicas. Namun setelah siasatan dijalankan, balu mangsa, Samirah Muzaffar dan dua anak remajanya dihadapkan ke mahkamah untuk dituduh.

Kejadian luar biasa

Saksi pertuduhan Mohamad Afzan Majid yang juga anggota bomba yang tiba di tempat kejadian menceritakan bagaimana seorang wanita Melayu yang melambai ke arah trak bomba untuk memadamkan kebakaran rumahnya di Mutiara Damansara, Selangor.

Dia mendakwa sebagai tuan rumah dan mengaku sebagai isteri mangsa. Dia berkata ada kebakaran di tingkat atas. Ketika itu dia nampak biasa dan tidak menunjukkan kesedihan di riak wajahnya.

Ketika sampai di tempat kejadian, saya bersama dua lagi anggota bomba bergegas ke bilik atas di mana api dipercayai masih ada. Di pintu bilik yang separuh terbuka, saya tak nampak jika ada sebarang mayat kerana asap terlalu tebal.

Mohamad Afzan berkata, apa yang dialami ketika mengendalikan kes terbabit adalah luar kebiasaan sepanjang khidmatnya selama 22 tahun.

Sepanjang pengalaman saya memadamkan api, tuan rumah biasanya akan meninggalkan premis dan menunggu kami di luar. Biasanya tuan rumah akan menangis dan merintih apa lagi jika melibatkan mangsa yang rentung. Perkara ini tak pernah terjadi sebelum ini.

Ambil wang dalam laci

Sementara itu, seorang lagi saksi pendakwaan, Nur Ronal Ardes Amir, bekas koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia melihat sendiri tertuduh (Samirah) mengambil wang tunai mata wang asing yang disimpan dalam laci bersebelahan televisyen di dalam bilik yang terbakar itu.

Selepas mengambil wang itu, saya melihat Samirah seolah-olah mencari sesuatu dan kemudian terjumpa kunci pendua di dalam laci sama.

Dia (Samirah) berkata pintu bilik tidak boleh dibuka kerana kunci di sini dan kemudian memasukkan wang berkenaan dan kunci ditemui dalam beg kain bertangkai yang dibawa wanita itu.