
Selepas 10 tahun, kumpulan Insomniacks yang memulakan kerjaya mereka dengan melakukan ‘cover’ lagu-lagu terkenal di YouTube berjaya merealisasikan impian mereka untuk mengadakan konsert mega pertama, 12 Julai lalu.
Artikel Berkaitan: Impian 10 Tahun Tercapai, Insomniacks Janji Kejutan Buat Peminat Pada Malam Konsert Echoes Of A Dream
Pukau 2,400 peminat
Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert yang diberi nama ‘Echoes Of A Dream’ itu berjaya memukau 2,400 peminat yang hadir.
Menurut vokalis kumpulan iaitu Syed Mir Iqbal atau lebih mesra disapa Iqie, dia dan ahli yang lain bersyukur kerana dapat menjayakan konsert tersebut dengan jayanya.
Alhamdulillah konsert sulung kami selepas 10 tahun berada dalam industri berjaya.
Malah sokongan peminat pada malam tersebut sangat hebat dan ia buatkan kami semua rasa terharu.
Perkara itu buatkan kami bersemangat untuk hasilkan lagi karya-karya hebat selepas ini berbekalkan sokongan daripada mereka.
Selain Iqie, kumpulan ini turut dianggotai dua lagi ahli iaitu Wan Arif Iskandar dan Danial Lee Hashim.
Rakan artis meriahkan konsert
Mendendangkan 21 buah lagu, Insomniacks yang turut dianggotai dua lagi ahli iaitu Wan Arif Iskandar dan Danial Lee Hashim berjaya membuatkan arena Zepp KL bergema dengan sorakan dan nyanyian bersama dari peminat.
Antara lagu yang didendangkan termasuklah ‘Pulang’, ‘Sempurna’, ‘Reminisensi’ serta beberapa lagu baharu yang pertama kali dibawakan secara langsung khas buat peminat.
Konsert yang berlangsung selama dua jam ini juga menampilkan persembahan khas daripada penyanyi terkenal dari Indonesia iaitu Nabila Taqiyyah yang berkolaborasi bersama Insomniacks menerusi lagu ‘Belum Mulai’.
Dengan sorakan hebat daripada peminat pada malam konsert menunjukkan bahawa kumpulan ini bukan sahaja meninggalkan memori indah buat peminat, tetapi turut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni mereka.
Sekadar info, Insomniacks bakal menghangatkan lagi suasana dengan konsert mereka seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 16 Ogos depan.
Sama seperti konsert sebelum ini, tiket konsert di Singapura juga telah habis terjual menandakan kejayaan besar bagi mereka di peringkat antarabangsa.