berita

Didakwa Terlibat Kes Langgar Lari, Pegawai Bank Dedah Ditipu Macau Scam Hampir 2 Juta

October 10th, 2020 | by Shafika
Kini Trending

Beberapa hari yang lalu, viral di media sosial apabila terbongkarnya sindiket Macau Scam yang disyaki telah mengaut keuntungan membabitkan nilai ratusan juta ringgit. Kes itu membawa kepada penahanan beberapa individu termasuk selebriti dan individu berpangkat ‘Datuk’

Artikel Berkaitan : SPRM Bekukan Hampir RM75 Juta Wang Haram ‘Geng’ Macau Scam, Kereta & Kediaman Mewah Disita

Terbaru, seorang lagi mangsa yang merupakan pegawai bank dedah pernah diperdaya sindiket Macau Scam ini selepas diarahkan oleh kononnya ‘pegawai polis’ untuk memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun baru.

Kononnya ada rekod berkaitan kes pengubahan wang haram

Menerusi Harian Metro, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua wang berkenaan yang dipindahkan sejak 6 Mei lalu tiada di dalam akaun bank terbabit selepas membuat pemeriksaan.

Dalam perbualan telefon itu, mangsa didakwa terbabit dengan kes langgar lari yang menyebabkan kematian dan dia menafikan perkara berkenaan.

Mangsa juga dimaklumkan bahawa beliau mempunyai rekod berkaitan kes pengubahan wang haram. Pada masa sama, mangsa menerima mesej di aplikasi WhatsApp berkenaan waran tangkap dikeluarkan oleh pihak polis terhadapnya.

Menurut Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, mangsa yang berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 5.52 petang pada 5 Mei lalu. Kemudian dia diminta memberi kerjasama dengan membuka akaun bank baru.

Tindakan itu didakwa kononnya bertujuan untuk siasatan pihak Bank Negara bagi mengenal pasti sama ada mangsa benar-benar terbabit atau tidak. Mangsa yang akur dengan permintaan itu kemudian membuka akaun bank baharu pada 6 Mei lalu dan mengeluarkan semua wang hasil penjualan saham di Singapura, pinjaman peribadi, wang simpanan, wang simpanan tetap serta penjualan polisi insurans miliknya ke dalam akaun baru terbabit.

Keluar semua duit dari akaun

Dalam pada itu, mangsa juga diminta supaya tidak membuat sebarang semakan dengan pihak bank daripada Mei hingga September bagi melancarkan siasatan dijalankan pihak Bank Negara. Malah, mangsa turut dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau selewat-lewatnya pada awal Oktober ini.

Mangsa juga dijanjikan bahawa jika dia tidak bersalah, wang itu akan dikembalikan semula, namun wang berkenaan akan dirampas dan menjadi hak milik kerajaan sekiranya didapati bersalah.

Bagaimanapun, mangsa masih belum menerima surat pengesahan seperti dijanjikan sehingga semalam sebelum mangsa membuat semakan di cawangan bank tempatan.

Semakan mendapati wang mangsa berjumlah RM1.97 juta sudah dikeluarkan secara berperingkat daripada akaun terbabit.

Nik Ezanee Mohd Faisal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau helah daripada pihak tertentu.

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×