berita

Didie Alias Ajak Peminat Bercuti

October 19th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Bermula Disember depan, 12 destinasi terpilih bakal dikunjungi pelakon dan pelawak Didie Alias antaranya Korea, Istanbul, Hong Kong dan sebagainya. Program percutian “Jom Melancong Bersama Didie Alias” itu akan disertai 12 artis yang berpotensi dalam menghiburkan para peminat.

Fadzilah Mohd Ali, 39, atau lebih dikenali sebagai Didie telah memilih beberapa rakan artis untuk turut serta dalam percutian itu, antaranya Sharifah Shahora, Scha Al Yahya, Johan Asa’ri, Enot, Along (Raja Lawak), Awal Ashaari, Elfira Loy, Black, Mawi dan lain-lain lagi berdasarkan keintiman mereka dengan peminta-peminatnya.

“Percutian ini sedikit sebanyak memberi saya peluang untuk meluangkan masa bersama anak-anak, suami dan peminat. Dengan faktor usia yang semakin meningkat, tawaran percutian sebegini sedikit sebanyak memberikan saya peluang istirehat yang cukup”

Didie yang merupakan duta program pelancongan anjuran Arlief Event & Management (AEM) itu berkata, program percutian ini adalah sebuah program kerjasama antara pihak artis dan Arlief Event & Management (AEM). Segala idea yang dicurahkan oleh Didie, akan dikombinasikan dan diguna pakai oleh pihak Arlief . Kerjasama antara mereka membuahkan hasil apabila pihak Arlief turut mempelbagaikan aktiviti semasa percutian itu berlangsung kelak.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mewakili para artis dalam program percutian yang dianjurkan oleh pihak Arelif. Peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk membawa para artis yang bertenaga dalam menghiburkan para peminatnya”, ujarnya ketika ditemubual di Menara KL di sini, petang Khamis.