
Penyanyi Arrora Salwa tampil memberikan penjelasan berhubung video tular yang memaparkan dirinya mencampak buku ke arah anak tirinya, Eshaal, sambil memarahinya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Arrora Salwa Tegas Didik Anak Tiri, Campak Buku Untuk Mengajar – ‘Semua Boleh Jadi Ibu Tapi Untuk Mendidik Bukan Mudah’
‘Jangan kasar sampai mencederakan anak’
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai pihak melabel tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Menjawab dakwaan netizen, Arrora menegaskan bahawa setiap individu termasuk kanak-kanak mempunyai sikap dan keperibadian yang berbeza.
Kita kena faham setiap orang termasuk anak-anak mempunyai sikap yang berbeza-beza. Kita tak boleh pukul rata semua.
Tambahnya lagi, sebarang bentuk kekasaran yang boleh mencederakan anak adalah perbuatan yang salah dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi sehingga membawa kepada penderaan domestik.
Jangan kasar sampai mencederakan anak, itu memang tidak boleh dilakukan dan sangat salah. Tak boleh berkasar dengan anak sampai berlakunya penderaan domestik.
‘Hanya saya yang mengenali anak-anak’
Arrora turut menegaskan bahawa tindakannya tidak patut disamakan dengan penderaan, sebaliknya ia lahir daripada rasa tanggungjawab sebagai ibu yang mahu melihat anak-anaknya berjaya.
Saya nampak ramai yang komen tindakan saya baling buku anak, kata saya kejam dan sebagainya tapi korang hanya nampak itu sahaja.
Hanya saya yang mengenali anak-anak saya walaupun mereka anak tiri saya. Mereka tinggal bersama saya, saya yang menghadap mereka 24jam, saya yang tahu mereka ni macam mana.
Saya adalah seorang ibu tiri yang bertanggungjawab menjaga anak-anak supaya berjaya.
Penyanyi itu turut berkongsi bahawa ini bukan kali pertama dia bertindak sedemikian. Katanya, sebelum ini dia pernah melakukan perkara yang sama terhadap anak tirinya yang kedua kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan.
Kejadian saya sama juga berlaku pada anak nombor dua, tahun lepas saya baling buku dia sebab keputusan peperiksaan sangat teruk. Masa hari bertemu waris di sekolah pun saya tak datang dan saya cakap keputusan dia memalukan saya.
Selepas daripada itu, anak perempuan saya belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan kepada saya dan dia berjaya. Saya sangat bangga.
Arrora menitipkan pesan buat ibu bapa dan orang ramai agar terus menyokong perkembangan anak-anak dengan cara yang sesuai mengikut situasi masing-masing.
Sumber: TikTok Arrora Salwa