Pelakon Zara Zya dan Jazmy Juma digandingkan di Tonton Original yang menampilkan naskhah komedi romantik 10 episod berjudul Namamu Cinta yang sarat dengan elemen menyentuh hati serta mencari makna kebahagiaan sebenar.

Artikel Berkaitan: ‘Chemistry’ Jazmy Juma & Tracie Sinidol Dalam Iklan Tonton Buat Netizen Terhibur – ‘Tengok Ulang-Ulang Sampai Bateri Low’

Artikel Berkaitan: ‘Jumpa Pun Baru Sekali, Saya Tiada Hubungan Peribadi Dengan Individu Yang Digosipkan’ – Zara Zya

Naskhah komedi romantik

Kisah ini mengenai Nuna (Zara Zya) yang merupakan seorang usahawan fesyen berjaya namun tekanan hidup dan konflik rumah tangga menyebabkan perkahwinannya dengan Hisham (Shahz Jaszle) berakhir dengan perceraian.

Nuna memilih untuk berpindah sementara ke Kampung Bagan Lalang bersama bapanya demi merawat hati yang luka.

Di sana, takdir menemukan dia dengan Aslan (Jazmy Juma), seorang pembuat batik muda berbakat yang memilih kehidupan sederhana, menjadikan seni batik sebagai cerminan jiwa dan falsafah hidupnya.

Keadaan bertambah rumit apabila Anis (Syad Mutalib), teman rapat yang memendam perasaan terhadap Aslan, berasa terancam dengan kehadiran Nuna. Konflik memuncak apabila Hisham kembali meraih simpati dan menuntut tempat dalam hidup Nuna, meletakkannya dalam dilema antara kenangan silam atau masa depan yang lebih tenang.

Drama terbitan Red Communications ini diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip nukilan Anwar Hadi dan Baizura Kahar sekali gus menyatukan Zara Zya dan Jazmy Juma buat pertama kalinya bergandingan sebagai watak utama.

Namamu Cinta ini turut dijayakan dengan barisan pelakon hebat seperti Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar serta Nor Albaniah yang memperkukuh penceritaan dengan lakonan mantap masing-masing.

Drama bersiri ini akan ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 14 Februari ini setiap Ahad yang menceritakan bagaimana sebuah pertemuan tidak disengajakan mampu mengubah cara seseorang melihat cinta, kerjaya dan erti kehidupan sebenar.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.