berita

Dirampas Di Udara, Ragut 100 Nyawa, Tragedi MH653 Nahas Pesawat Terburuk 4 Dekad Lalu

March 29th, 2019 | by faris
Kini Trending

Kehilangan pesawat MH370 masih kekal misteri sehingga hari ini setelah 5 tahun berlalu. Tidak lama selepas itu, negara dikejutkan pula dengan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 14 Julai 2014.

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai pesawat MH653 yang dilabelkan yang terburuk dalam 102 tahun sejarah penerbangan dunia!

Ragut 100 nyawa

Tragedi yang berlaku pada 1977 dan dikenali sebagai tragedi Tanjung Kupang masih lagi segar diingatan, apatah lagi buat keluarga dan rakan mangsa terlibat. Pesawat MH653 dari Pulau Pinang menuju Kuala Lumpur dirampas di udara dan terpaksa terbang menuju ke Lapangan Terbang Paya Lebar, Singapura.

Takdir menentukan segalanya, pesawat malang itu akhirnya menjunam dan terhempas di kawasan paya Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Johor tanggal 4 Disember 1977. Sejumlah 93 penumpang dan 7 krew meninggal dunia dalam insiden itu.

Juruterbang beri amaran 20 minit sebelum kejadian

Juruterbang ketika itu Kapten G. K. Ganjoor dan dibantu pegawai  Kamaruzaman Jalil, telah memaklumkan mengenai amaran kepada menara kawalan Lapangan Terbang Subang 20 minit sebelum tragedi.

Makluman diterima adalah pesawat telah dirampas oleh kumpulan Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army). Lebih memburukkan keadaan, kumpulan itu memiliki bahan letupan bersama mereka.

Pendaratan yang dijadualkan di lapangan tersebut dibatalkan dan MH653 menuju ke Singapura.

Juruterbang & pembantu ditembak mati

Siasatan dari kotak hitam merakam perbualan juruterbang dengan perampas mengenai pesawat itu akan kehabisan bahan api sebelum sempat sampai ke Singapura. Perbualan itu kemudiannya diikuti beberapa das tembakan. Penyiasat membuat kesimpulan juruterbang dan pembantunya ditembak mati dan pesawat tidak dikendalikan secara profesional.

Pada jam 8.15 malam hari kejadian, komunikasi dengan pesawat itu hilang. Kemudian pada 8.36 penduduk Kampung Ladang melaporkan mendengar bunyi letupan dan melihat bangkai pesawat terbakar di kawasan paya.

Bangkai pesawat itu kemudiannya dikenalpasti sebagai MH653. Pesawat itu dipercayai terjunam secara hampir menegak pada kelajuan tinggi.

Mayat tidak sempurna

Memandangkan tragedi menyayat hati ini begitu dahsyat, keadaan mayat mangsa terlibat tidak sempurna. Menerusi laporan, cebisan mayat mangsa bertaburan di dalam paya dan sebahagiannya tersangkut di atas pokok.

Cebisan-cebisan berkenaan kemudiannya dipungut dan dikumpulkan lalu dikebumikan di Perkuburan Khas Jalan Kebun Teh, Johor Bharu.

Sumber: Arkib NegaraSJ Post, Malaysian Review

SKIP THIS AD ×