Pelakon terkenal Indonesia iaitu Reza Rahadian telah mengejutkan dunia hiburan Indonesia selepas membuat pengakuan menerusi wawancara bersama pengacara televisyen iaitu Daniel Mananta.
Reza mengakui selama ini dia telah berbohong kepada orang ramai tentang ‘kematian’ bapa kandungnya semata-mata mahu menghentikan persoalan orang ramai tentang keberadaan bapanya.
‘Saya tak ada idea’
Walaupun tampak bahagia dan tidak mempunyai masalah tetapi di sebalik kehidupan seorang insan bernama Reza Rahadian, terdapat banyak kisah-kisah yang tidak diceritakan kepada umum. Menurut Reza, dia terpaksa membuat pengakuan bahawa bapa kandungnya sudah meninggal dunia kerana mahu menghentikan pertanyaan orang ramai mengenai insan bergelar bapa itu.
Mungkin anda pernah dengar dulu, saya pernah kata bapa meninggal dunia sejak saya masih kecil. Itu adalah sebuah cerita kerana orang asyik bertanya. Kerana sejujurnya saya tidak tahu sama ada bapa saya masih hidup atau sudah meninggal.
Menurut Reza walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun, tetapi sehingga kini dia tidak kenal siapa bapa kandungnya bahkan dia juga tidak tahu dimana keberadaan insan itu. Hal ini kerana, sejak berusia enam bulan lagi, dia telah ditinggalkan oleh bapa dan dibesarkan sendirian oleh ibu kandungnya.
Saya tak ada idea, saya langsung tiada klu. Saya bahkan tidak tahu bagaimana rupanya, wujudnya bagaimana. Saya tak ada gambaran sama sekali.
Tak pernah burukkan bapa kandung
Bercerita dengan lebih lanjut, Reza menyifatkan ibunya seorang wanita yang sangat tabah dan kuat kerana mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan bapa dalam satu masa yang sama. Bukan itu sahaja, Reza memaklumkan ibunya juga tidak pernah mendidiknya untuk membenci apatah lagi memburuk-burukkan bapa kandung di hadapannya.
Dia tak pernah memburuk-burukkan bapa. Dia hanya beritahu itu pilihan bapa, dia pergi dan tinggalkan mama pada waktu itu. Tapi itu pilihan dia. Mama hormati.
Jelas Reza sebelum bergelar anak seni dan selain menjadi seorang tenaga pengajar, dia juga pernah menjual karpet untuk membantu menambahkan pendapatan buat mereka sekeluarga. Dalam pada itu, Reza mengakui kekuatan yang ada padanya kini adalah daripada kerana ibunya.
Sesi wawancara bersama Reza Rahadian
Sumber: Daniel Mananta