Sebelum ini, Fatin Afeefa meluahkan perasaan terkejut apabila anaknya mendakwa bekas suaminya tinggal di dalam bilik yang sama bersama teman wanita. Perkara tersebut telah diceritakan oleh anaknya menerusi satu panggilan video yang dibuat.
Artikel berkaitan: Fatin Afeefa ‘Tergamam’ Anak Dakwa Bekas Suami Tidur Sebilik Dengan Wanita Lain?
Terbaru, bekas suami kepada penyanyi dan pelakon cantik itu iaitu Adam Shahz, nekad mengambil tindakan saman ke atas bekas isterinya berikutan tindakan mengaibkannya hingga boleh menjatuhkan reputasi.
Enggan mengulas dakwaan
Menurut laporan Berita Harian, Adam enggan mengulas dakwaan yang dibuat bekas isterinya itu, sebaliknya dia tekad dengan keputusan untuk menyaman Fatin.
Cukuplah menyeksa saya selama lebih empat tahun kami bercerai. Saya sudah lama bersabar, tetapi nampaknya Fatin sengaja mahu menguji kesabaran saya. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Jalan terbaik adalah membawa kes ke mahkamah. Di sana, saya akan menjelaskan segala-galanya termasuk bukti sekali.
Berhubung tuntutan nafkah yang dibangkitkan, perkara ini juga hanya akan didedahkan dalam mahkamah. Sebelum ini, saya pernah minta Fatin membuka fail jika benar saya berada di pihak yang salah. Tetapi, sudah lebih empat tahun bercerai, tiada sebarang tindakan yang diambil. Oleh kerana dia enggan mengambil sebarang tindakan, jadi biarlah saya yang memulakan langkah.
Jelas Adam lagi, dia kecewa kerana bekas isterinya turut membangkitkan mengenai isu nafkah untuk anak mereka. Tambahnya isu yang sama telah berbangkit sejak awal perceraian lagi. Malah, dia pernah meminta Fatin untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati. Adam turut memberitahu bahawa sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan Fatin.
Membuat permohonan maaf
Terdahulu, Fatin Afeefa berkongsi satu video perbualan dengan anaknya, Ivy Herra Sophia, menerusi Instagram (IG) Story miliknya. Fatin mendakwa bekas suaminya itu berkongsi bilik tidur dengan teman wanitanya ketika bercuti, baru-baru ini. Bagaimanapun, video berkenaan dipadam oleh Fatin tidak berapa lama kemudian, malah pelakon ‘Tentang Bulan’ ini turut membuat permohonan maaf kepada bekas suaminya itu dalam ruangan IG Story.
Sumber: Berita Harian