Nama DJ Sonic mungkin sinonim dengan gelak tawa, muzik ceria dan suara yang sentiasa memeriahkan konti radio.

Namun di sebalik perwatakan yang sering menghiburkan ramai, insan bernama Awang Suffian Awang Hussein pernah tenggelam dalam satu fasa hitam kehidupan iaitu saat pemergian ayah tercinta, Awang Hussin Awang Jinal, pada 29 Februari tahun lalu.

Artikel Berkaitan: ‘Orang Yang Rapat Sahaja Tahu Hebat & Baik Insan Bernama Fazura’ – Dj Sonic

Artikel Berkaitan: ‘Dengan Nama Allah Fazura Tidak Pernah Bercerita Hal Rumah Tangga Dia Dengan Saya’ – DJ Sonic

Hanya menangis

Menurut DJ Sonic, arwah ayahnya meninggal dunia akibat masalah dalaman perut, dan ketika itu dia berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan urusan kerja selepas menjaga ayahnya selama seminggu di hospital.

Ceritanya dalam nada sebak, dia menerima panggilan daripada ibunya dan dimaklumkan bahawa ayah kembali dimasukkan ke hospital.

Tanpa berlengah, DJ Sonic segera menempah penerbangan ke Kapit, Sarawak. bagaimanapun sebaik sahaja pesawat mendarat di Sibu, telefon bimbitnya dihujani dengan mesej ucapan takziah.

Waktu itu saya tak bercakap langsung dalam kereta. Saya cuma menangis.

Tapi saya bersyukur kerana saya sempat sampai untuk mandikan jenazah ayah sendiri. Saya sempat peluk dia buat kali terakhir.

Dua minggu selepas pemergian ayahnya, DJ Sonic mengambil keputusan untuk tidak bersiaran di radio.

Katanya, dia tidak mampu memaksa diri untuk gembira ketika hatinya masih hancur.

On air perlukan emosi yang stabil. Kita kena gembirakan pendengar. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu.

Kesedihan yang berlarutan tanpa diurus dengan baik akhirnya membawa kepada gangguan kesihatan.

Memasuki bulan Jun dan Julai 2024, DJ Sonic mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius. Berat badannya susut dengan ketara, dan tidak mampu bekerja selama sebulan.

Saya pulang ke Kuching untuk dirawat dan dijaga oleh adik. Di sana, saya mencari ruang untuk sembuh.

Dapatkan rawatan ‘healing’

Selepas hampir setahun, DJ Sonic akhirnya berjaya membuka diri untuk benar-benar melepaskan apa yang terbuku.

DJ Sonic mengambil keputusan mengikuti sesi terapi dan healing bersama Dr Hisham Dzakiria, seorang figura yang terkenal dalam bidang pembangunan emosi dan mental, pada 3 Ogos lalu.

Sepanjang lebih satu jam sesi berlangsung, DJ Sonic tidak dapat menahan air mata meluahkan rasa rindu serta kekesalan yang terbuku disebabkan tidak sempat meluangkan lebih banyak masa bersama arwah semasa hayatnya.

Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tak ada, baru saya rasa betapa besarnya kehilangan itu.

Menurut Dr Hisham, tidak salah untuk menangis, kerana itu tanda kasih yang dalam.

Tetapi sebagai anak, Sonic juga harus merasa bangga kerana apa yang dilakukan hari ini, setiap lagu yang diputarkan, setiap suara yang disalurkan di udara adalah satu dedikasi kepada insan yang pernah membesarkannya.

Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah masa on air, tapi saya terus menangis. Saya belum kuat. Tapi bila doktor kata, lagu itu bukan kenangan sedih, tapi satu penghormatan, saya mula ubah fikiran.

Sekarang saya cuba redha dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu.

Dalam sesi tersebut, Dr Hisham membantu DJ Sonic melihat kembali kisah kehilangan ini dari sudut yang lebih positif.

Dr Hisham mengajak DJ Sonic untuk berdamai dengan emosi sendiri, dan menukar rasa bersalah itu kepada satu bentuk penghargaan terhadap kenangan dan kasih sayang yang pernah wujud.

Kini, meskipun masih dalam proses rawatan untuk anxiety, DJ Sonic kembali melangkah hari demi hari dengan semangat yang lebih stabil.

DJ Sonic percaya bahawa healing bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan berterusan. Dan dalam setiap langkah itu, bayangan arwah ayah akan sentiasa bersamanya sebagai kekuatan dan cahaya.